Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menyokong sepenuhnya ketegasan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam mempertahankan kedaulatan Islam dan hak orang Melayu, di Perhimpunan Agung Umno.

Presidennya, Yusri Mohamad berkata, Abim senada dengan Hishammuddin dalam mempertahankan kedaulatan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkaitan Artikel 11 dan Artikel 121 (1A) yang secara terang-terangan dipertikai oleh pihak-pihak tertentu sejak kebelakangan ini.

"Amaran beliau kepada Kumpulan Artikel 11 dan kelompok yang sedang giat berusaha menimbulkan isu-isu agama dan isu sensitif, seharusnya menimbulkan kesedaran kepada kedudukan masyarakat Melayu-Islam yang semakin digugat dari hari ke sehari," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Hishammuddin membangkitkan perkara tersebut dalam ucapan dasarnya di perhimpunan Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kelmarin.

Yusri berkata Abim senada dengan Pemuda Umno dalam isu-isu membabitkan agama Islam yang mula dipertikai secara terbuka oleh pelbagai pihak, khususnya mereka yang bukan Islam, sama ada melalui pemimpin mereka, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai saluran lain seperti yang telah dikenalpasti oleh Hishammuddin.

Kedaulatan Islam

Katanya, Abim juga mahu menegaskan bahawa isu-isu sensitif membabitkan umat Islam, seperti murtad, merupakan halehwal umat Islam yang sepatutnya tidak dipersoal dan dicampuri oleh orang bukan Islam.

"Justeru kedaulatan dan bidang kuasa eksklusif yang diberikan kepada Mahkamah Syariah melalui Artikel 121 (1A) yang dipinda pada tahun 1988, tidak harus dipertikai sama sekali," kata Yusri.

Menurutnya, seluruh rakyat harus sedar bahawa sebarang usaha untuk meminda, apatah lagi menghapuskan peruntukan tersebut, merupakan satu perbuatan merendah-rendahkan kedaulatan Islam sebagai agama rasmi di negara ini.

"Langkah tersebut juga hanya akan menimbulkan lebih banyak kekeliruan dan kekacauan yang sebelum ini telah diselesaikan dengan baik oleh badan eksekutif dan legislatif sebelum ini..

"Justeru Abim melahirkan kekesalan atas sebarang usaha melobi pihak kerajaan supaya meminda peruntukan istimewa tersebut," tambahnya.