Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kawasan tumpuan pelancong mula tercemar dengan asap rokok
Diterbitkan:  Oct 22, 2021 11:34 AM
Dikemaskini: 3:34 AM

Bukan saja di premis makanan, kawasan tumpuan pelancong di negeri ini juga sudah mula 'tercemar' dengan asap rokok oleh golongan tidak bertanggungjawab itu.

Entahkan terlupa atau sengaja buat-buat lupa namun, tinjauan Bernama sejak dua minggu lepas di sekitar Melaka mendapati golongan perokok ini tanpa segan silu merokok di kawasan pelancongan sehingga mendatangkan rasa tidak selesa kepada pengunjung lain.

Antaranya di sekitar A Famosa, Dataran 1Malaysia di Klebang, siar kaki di Kampung Morten serta pekarangan beberapa muzium di sini yang tidak terlepas daripada menjadi mangsa golongan yang tidak bertanggungjawab ini.

Malahan, aktiviti tidak menyenangkan itu bukan sahaja dilakukan di siar kaki restoran yang menempatkan meja makan, malah ada golongan perokok yang tanpa rasa bersalah merokok di dalam premis menjual makanan ketika restoran masih dipenuhi pelanggan.

Bukan itu sahaja, penguatkuasaan yang 'perlahan' juga membuatkan mereka semakin berani melanggar peraturan yang dilaksanakan pada 2019 itu.


Seorang pengunjung di Hang Tuah Center di Duyong, Norhayati Ishak, 35, mengakui agak marah dengan kelakuan segelintir perokok yang merokok di kawasan tersebut terutama di Perigi Hang Tuah.

''Kawasan itu tumpuan pelancong dan sudah pasti ada kanak-kanak tapi langsung tak dipedulikan. Walaupun kawasan itu terbuka tapi masih ramai orang dan kita tidak tahu siapa yang alah kepada asap rokok. Mungkin juga ada ibu hamil atau kanak-kanak,'' katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Hal yang sama turut dikongsi oleh Qistina Zahari, 23, yang melancong ke Melaka bersama keluarganya pada cuti hujung minggu baru-baru ini.

Katanya, beliau sangat tidak selesa apabil melalui siar kaki di Kampung Morten kerana ramai yang merokok dan lebih 'menyakitkan hati' puntung dibuang ke dalam sungai serta di dalam pasu bunga yang terdapat di sepanjang laluan tersebut.

“Sangat tidak bertanggunjawab. Sudahlah merokok di kawasan awam, kotorkan pula kawasan sini. Harap penguatkuasaan dapat dijalankan segera dan tindakan tegas diambil,'' katanya.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam ciapan di Twitternya sebelum ini mengingatkan larangan merokok di kawasan awam yang dilaksanakan sejak 2019 masih diteruskan hingga kini, malah mahu penguatkuasaan dipertingkatkan bagi memastikan masyarakat patuh terhadap larangan tersebut.

Mereka yang didapati melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan kompaun sebanyak RM250 dan jika gagal membayarnya boleh didakwa di mahkamah dengan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun.

Senada dengan Khairy, Penyelaras Kawalan Tembakau, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Muhamad Sha'ani Abdullah berkata kerajaan harus bertegas ke atas golongan ini sepertimana yang dikenakan ke atas mereka yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam kerana merokok di kawasan tersebut adalah ketidakpatuhan yang sangat jelas.

''Sudah sampai masanya untuk tegaskan budaya mematuhi semula semua bentuk peraturan keselamatan di kawasan awam seperti di premis menjual makanan.

''Malah, mengikut Peraturan Kebersihan Pengendali Makanan juga, semua penjual makanan termasuk restoran, pasar malam atau gerai di tepi jalan boleh dikenakan tindakan di bawah prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 kerana tuan punya premis gagal memastikan pelanggan mereka mematuhi peraturan,'' katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS