Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng menyatakan rasa terkejut dengan tindakan Muhyiddin Yassin ketika menjadi perdana menteri yang menghidupkan kembali dua projek saluran paip yang terpalit dengan skandal pentadbiran Najib Razak.

Ia berkaitan dengan projek Saluran Paip Pelbagai Produk Petroleum (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dikendalikan Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER), anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan (MoF).

"Kedua-dua projek ini adalah salah satu skandal kewangan paling tidak masuk akal dari pentadbiran Najib kerana SSER telah membayar RM8.3 bilion, atau 88 peratus daripada RM9.4 bilion nilai pembinaan projek tersebut, walaupun penyiapan kerja berperingkat (yang belum diaudit) hanya pada tahap 13 peratus,"kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, bekas pegawai khas Najib, Amhari Efendi Nazaruddin ketika memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah 1MDB berkata projek SSER adalah antara beberapa urus niaga mega yang ditawarkan kepada China untuk membantu menyelamatkan 1MDB.

Ia di tengah-tengah hutang 1MDB yang kian meningkat, yang didakwa pihak pendakwaan sebahagian besarnya diselewengkan Najib dan sekutnya. Ia juga ketika skandal tersebut mendapat perhatian penyiasat antarabangsa.

Lim, yang menjadi menteri kewangan di bawah pentadbiran PH pada 2018 hingga 2020, telah membatalkan projek SSER.

Lim juga mempersoalkan mengapa Muhyiddin menghidupkan semula projek tersebut tanpa mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat.

"Persoalannya mengapa Muhyiddin Yassin tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pelaku kesalahan kewangan yang luar biasa dan besar ini, yang membayar berbilion ringgit untuk kerja yang tidak disiapkan, dengan 88 peratus pembayaran untuk 13 peratus kerja.

"Walaupun kerajaan sebelumnya telah memutuskan untuk menghidupkan kembali dan meneruskan kedua-dua projek tersebut, mereka yang terlibat dalam mengkhianati kepentingan kewangan negara tidak boleh dibiarkan terlepas tanpa hukuman," katanya lagi.

Penerusan semula projek itu diketahui setelah Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mendedahkannya dalam satu jawapan parlimen kepada Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin ketika sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Zafrul memegang jawatan sama ketika pentadbiran Muhyiddin.

Dalam pada itu, Lim menggesa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi penjelasan berkenaan perkara itu.

"Perdana menteri harus menejlaskan peranannya dalam pentadbiran sebelumnya dan menetapkan haluan baru untuk memastikan bukan sahaja kepentingan kewangan negara dilindungi tetapi mereka yang terlibat dalam menipu negara mereka sendiridikenakan hukum yang berat.

"Kegagalan untuk berbuat demikian akan menunjukkan Ismail tiada beza dengan bekas perdana menteri sebelum ini yang menutup mata dan bahkan berusaha untuk menutup jenayah kewangan seumpama itu," katanya lagi.

MPP membabitkan projek saluran paip petroleum pelbagai produk sepanjang 600 kilometer yang menghubungkan Melaka dan Port Dickson, Negeri Sembilan ke Jitra di Kedah, dengan kos 4.53 bilion yuan dan RM2.53 bilion atau kira-kira RM5.35 bilion.

TSGP pula adalah pembinaan saluran paip gas 662 kilometer dari Terminal Gas Kimanis ke Sandakan dan Tawau, Sabah, dengan kos 3.08 bilion yuan dan RM2.14 bilion atau kira-kira RM4.06 bilion.

Kedua-dua projek bernilai RM9.41 bilion itu diberikan kepada Biro Saluran Paip Petroleum China (CPPB) pada 1 November 2016. Perjanjian itu ditandatangani ketua setiausaha perbendaharaan ketika itu, Irwan Serigar Abdullah.