Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suhakam: Perlu 'jalan tengah' atasi isu diskriminasi terhadap antivaksin

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menggesa kerajaan mencari 'jalan tengah' untuk menangani diskriminasi dihadapi oleh individu tidak divaksinasi.

Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph berkata menjadi hak individu untuk memilih tidak mengambil vaksin Covid-19, dengan beberapa segelintir membuat keputusan itu.

"Suruhanjaya ini merasakan (agar) menyeimbangkan antara kesihatan awam, hak orang lain dan hak individu untuk memilih (mendapat vaksin) - kita dapat menemukan keseimbangan itu.

"Walaupun ada sekatan yang munasabah, sekatan ini tidak boleh menafikan hak asasi manusia (individu yang tidak divaksin)," katanya pada sidang media hari ini.

Jerald menjelaskan ini melibatkan hak untuk makanan, kesihatan dan bahkan akses kepada perkhidmatan awam kerajaan.

"Pasti ada alternatif yang munasabah. Saya rasa itu adalah tindakan yang seimbang,” katanya.

Bagaimanapun, Suhakam juga mengulangi seruannya agar semua individu - jika boleh - untuk mendapat vaksin.

Dalam ucapannya, Jerald (gambar, bawah) memuji kejayaan vaksinasi negara setakat ini - yang melihat kadar vaksinasi orang dewasa pada kadar 94.3 peratus.

Pun begitu, dia menunjukkan masih terdapat golongan seperti individu tiada dokumen dan tanpa kerakyatan yang masih berjuang untuk mendapatkan vaksin.

Kenyataan pesuruhjaya itu selepas Suhakam dilaporkan menerima 80 aduan mengenai diskriminasi terhadap orang yang tidak divaksin.

Aduan tersebut menggambarkan kejadian majikan mewajibkan vaksinasi Covid-19, pekerja dipecat atau dihalang untuk kembali ke tempat kerja mereka kerana status vaksinasi, pelajar dilarang kembali ke kampus, serta sekatan akses ke ruang awam bagi individu tidak divaksin.

Pada sidang media hari ini Suhakam mengumumkan penemuan dan syornya berkaitan dengan pelbagai isu hak asasi manusia, seperti kematian dalam tahanan, jumlah kematian pekerja asing yang tinggi di Malaysia dan vaksinasi Covid-19.

Majlis itu diadakan secara maya dan secara langsung di ibu pejabat Suhakam dan dihadiri oleh Pesuruhjaya Suhakam Madeline Berma dan Mah Weng Kwai.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Khairy sebelum ini berkata kerajaan akan mengambil pendekatan tegas terhadap mereka yang enggan menerima vaksin, dengan ‘menyusahkan’ hidup mereka.

Pun begitu, Ketua pembangkang Anwar Ibrahim berkata bahawa dia tidak setuju dengan Khairy yang mengambil pendekatan 'paksaan' terhadap rakyat Malaysia yang enggan menerima vaksin.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata bahawa kerajaan sepatutnya memberi kesedaran kepada mereka mengenai keperluan menerima vaksin.

Sejak 20 Ogos, individu yang diberi vaksin sepenuhnya yang tinggal di kawasan Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan makan di restoran.

Selain itu, terdapat juga kelonggaran peraturan mengenai aktiviti rekreasi dan sukan Individu yang lengkap vaksin di kawasan ini boleh memancing, mendaki, berkhemah, berbasikal, bermain golf, badminton (perseorangan) dan tenis (perseorangan).

Lihat Komen
ADS