Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Fitnah kata Warisan akan tanding semua kerusi PRU'
Diterbitkan:  Oct 24, 2021 2:04 PM
Dikemaskini: 6:19 AM

Warisan menafikan parti itu akan meletakkan calon di semua kerusi parlimen pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ketua Penerangan Warisan, Awang Ahmad Sah berkata demikian selepas ada pihak tertentu mendakwa parti itu akan bertanding di semua kerusi PRU susulan kenyataan dibuat presidennya, Shafie Apdal.

"Parti Warisan baru-baru ini menyatakan kesediaan untuk bertanding di kawasan tertentu di Semenanjung Malaysia bagi Pilihan Raya ke-15 (PRU15) dengan kerjasama parti Muda.

"Bagaimanapun, beliau (Shafie) tidak menyatakan berapa jumlah kerusi dan kawasan yang akan ditandingi, kerana perkara ini masih di dalam pertimbangan dan perbincangan di peringkat pusat," kata Awang dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 20 Oktober lalu, Shafie mengumumkan hasrat mengembangkan sayap ke Semenanjung dan bekerjasama dengan parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Shafie memaklumkan perkara itu dalam program Dialog Concorde yang dihoskan oleh Penasihat Editorial The Star, Wong Chun Wai secara maya.

Bagaimanapun Awang berkata kenyataan Shafie itu adalah "respons spontan" terhadap pertanyaan yang diajukan wartawan.

"Namun, perkara ini telah menarik perhatian ramai, khususnya pemerhati dan pengikut perkembangan politik sehingga ada yang sanggup menabur fitnah di media sosial kononnya Warisan akan bertanding di semua kerusi parlimen pada PRU15.

"Parti Warisan menolak dakwaan tersebut dan pada masa ini semua pemimpin Warisan di setiap peringkat sentiasa fokus mengangkat isu dan permasalahan rakyat yang memerlukan perhatian dan tindakan segera.

Katanya lagi, perbuatan menyebar berita palsu itu merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan secara jelas ingin mengelirukan rakyat.

Lihat Komen
ADS