Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib dapat kebenaran lanjutkan tempoh pemulangan pasport

Bekas perdana menteri Najib Razak mendapat kebenaran daripada tiga hakim untuk lanjutan pelepasan sementara pasportnya untuk dia pergi ke Singapura mengunjungi anak perempuannya yang dijangka melahirkan anak di sana.

Kebenaran itu diberikan oleh tiga hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini iaitu hakim Mohamed Zaini Mazlan, Collin Lawrence Sequerah, dan Muhammad Jamil Hussin.

Pihak pendakwaan iaitu timbalan pendakwa raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, dan Shafiq Hasim tidak mengemukakan sebarang bantahan sepanjang tiga prosiding berasingan.

Sebelum ini, dilaporkan Najib memohon pelanjutan itu kerana beliau terlebih dahulu perlu menguruskan jentera parti BN bagi pilihan raya negeri Melaka pada 20 Nov, kemudian keesokan harinya pergi ke Singapura untuk memberi sokongan kepada Nooryana Najwa, yang dijangka bersalin di republik itu.

Pada Isnin minggu lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan pelepasan pasport sementara Najib supaya dia boleh berada di Singapura dari 20 Okt hingga 22 Nov.

Bagaimanapun, menerusi notis usul yang dipinda di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Najib memohon tempoh pelepasan pasportnya termasuk 21 Nov hingga 6 Dis.

Selain kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta, yang mana beliau telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman (dan sedang dalam proses rayuan di hadapan Mahkamah Rayuan), Najib juga mempunyai tiga lagi kes jenayah yang belum selesai di hadapan tiga hakim Mahkamah Tinggi yang berasingan di Kuala Lumpur .

Najib sedang menjalani perbicaraan untuk kes rasuah 1MDB bernilai RM2.28 bilion di hadapan hakim Sequerah dan satu lagi perbicaraan di hadapan hakim Zaini kerana didakwa terlibat dalam pindaan laporan audit 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu juga mempunyai kes yang belum selesai, yang belum dibicarakan lagi, melibatkan dakwaan pecah amanah sebanyak RM6.6 bilion dana kerajaan yang dikaitkan dengan pembayaran Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC), di hadapan hakim Jamil.

Baru-baru ini, mahkamah berasingan turut memberi kebenaran pada pelepasan pasport sementara untuk tiga lagi tertuduh yang masih menjalani perbicaraan atas pelbagai kesalahan jenayah, iaitu isteri Najib Rosmah Mansor, peguamnya Muhammad Shafee Abdullah, dan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Lihat Komen
ADS