Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Hasil bukan cukai RM46.07 bilion, dividen Petronas lebih rendah’
Diterbitkan:  Oct 28, 2021 3:57 PM
Dikemaskini: 7:57 AM

AUDIT l Faedah dan perolehan daripada pelaburan merupakan penyumbang utama bagi hasil bukan cukai bagi tahun 2020, iaitu berjumlah RM46.07 bilion atau 74.2 peratus daripada keseluruhan hasil bukan cukai.

Amaun ini berkurangan sebanyak RM13.99 bilion atau 23.3 peratus berbanding RM60.06 bilion pada tahun 2019, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan serta Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan Tahun 2020 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini

“Pengurangan ini disebabkan terimaan dividen lebih rendah daripada syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) iaitu sebanyak RM34 bilion berbanding RM54 bilion pada tahun 2019,” kata laporan itu.

LKAN berkata pada tahun 2020, sejumlah RM6.05 bilion yang merupakan premium bersih daripada terbitan pinjaman persekutuan dalam akaun penyelesaian premium/diskaun sekuriti kerajaan telah dipindahkan ke akaun hasil bukan cukai di bawah faedah dan perolehan daripada pelaburan.

Premium yang dipindahkan ini adalah bagi pinjaman yang diterbitkan pada tahun 2017, 2019 dan sebahagian tahun 2020.

Selain itu, lesen, bayaran pendaftaran dan permit menjadi penyumbang kedua terbesar bagi hasil bukan cukai.

“Penurunan hasil di bawah kategori ini adalah disebabkan oleh pengurangan terimaan royalti petroleum sejumlah RM1.58 bilion menjadi RM4.20 bilion pada tahun 2020 berbanding RM5.78 bilion pada tahun 2019.

“Prestasi perbelanjaan sebenar berjumlah RM224.60 bilion atau 99.1 peratus iaitu menurun sejumlah RM38.74 bilion atau 14.7 peratus berbanding RM263.34 bilion pada tahun 2019.

“Perbelanjaan emolumen berjumlah RM82.99 bilion berbanding RM80.53 bilion pada tahun 2019 iaitu peningkatan sejumlah RM2.46 bilion atau 3.1 peratus,” katanya.

Sementara itu, sejumlah RM61.07 bilion telah dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembangunan, manakala RM38.02 bilion dipindahkan ke Kumpulan Wang COVID-19.

“Pindahan ke Kumpulan Wang COVID-19 adalah selaras dengan penubuhan kumpulan wang tersebut yang diwartakan di bawah Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan 2020 atau Akta 830 pada 26 Oktober 2020,” kata laporan itu.

Pindahan pertama diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 17 Disember 2020 berjumlah RM38 bilion, manakala pindahan kali kedua pada 31 Disember, 2020 berjumlah RM20 juta.

Analisis Audit terhadap pinjaman kasar berjumlah RM194.55 bilion yang diterima pada tahun 2020 mendapati sejumlah RM98.06 bilion atau 50.4 peratus daripadanya digunakan untuk bayaran balik prinsipal pinjaman yang matang pada tahun 2020.

Bayaran balik prinsipal meningkat sejumlah RM15.00 bilion atau 18.1 peratus berbanding tahun 2019 yang berjumlah RM83.050 bilion.

Sejumlah RM97.73 bilion atau 99.7 peratus adalah bayaran balik pinjaman dalam negeri, manakala RM0.33 bilion atau 0.3 peratus adalah bayaran balik hutang luar negeri.

“Perkara ini menunjukkan kebergantungan Kerajaan terhadap pinjaman baharu untuk membiayai bayaran balik prinsipal pinjaman yang telah matang.

“Dalam jangka masa panjang, bebanan kewangan negara akan bertambah untuk pembayaran kos pinjaman menyebabkan peruntukan mengurus untuk perolehan bekalan dan perkhidmatan serta pembelian aset akan berkurangan,” katanya.

Menurut laporan tersebut, sejumlah RM48.571 bilion daripada terimaan pinjaman tahun 2020 telah dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembangunan iaitu menurun sejumlah RM3.16 bilion atau 6.1 peratus berbanding RM51.73 bilion pada tahun 2019.

Hanya sejumlah RM40.32 bilion atau 20.7 peratus daripada jumlah pinjaman kasar digunakan untuk perbelanjaan pembangunan, manakala RM8.26 bilion digunakan untuk membayar Liabiliti Inisiatif Pembiayaan Swasta dan pinjaman yang dijamin oleh kerajaan (2019: RM6.238 bilion).

Perkara ini menjadikan jumlah bayaran liabiliti kerajaan bagi tahun 2020 berjumlah RM106.323 bilion atau 54.6 peratus daripada keseluruhan terimaan pinjaman kasar tahun kewangan 2020 [2019: RM89.288 bilion (64.4 peratus)].

- Bernama

Lihat Komen
ADS