Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan pantun untuk menyampaikan mesej kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya menerima cara penggantinya, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mentadbir negara ini.

Dalam pantun tersebut, Najib berkata umno tidak pernah melupakan jasa dan sumbangan pemimpinnya yang telah lalu, dan kini tibalah masanya untuk Abdullah pula memberi sumbangan dan perlukan sokongan semua pihak.

Timbalan Perdana Menteri itu menyampaikan pantun tersebut dalam ucapan penggulungannya di perhimpunan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang tadi.

Dr Mahathir telah mengkritik hebat pentadbiran Abdullah selepas kerajaan membatalkan projek-projek yang dimulakan sewaktu pentadbirannya termasuk pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Malah, bekas Perdana Menteri itu pernah membayangkan yang beliau mungkin telah membuat kesilapan apabila memilih Abdullah sebagai penggantinya, dan mengakui Najib merupakan pilihan terbaik bagi jawatan tersebut.

Berikut adalah pantunnya:

Setiap pemimpin ada zamannya,

mereka berjasa kepada rakyat,

Pelbagai dasar telah dicuba,

menjadikan negara kita hebat.

Bertahun-tahun negara dibina,

segala bakti kita kenang,

Tidak lupa pesanan lama,

pucuk pimpinan mesti dijulang.

Kini tiba zaman Pak Lah,

tiga tahun menabur jasa,

Negara ini semakin berubah,

memulia agama, membela bangsa.

Pak Lah kita beri sokongan,

ahli parti mestilah setia

Segala barisan kita kukuhkan,

demi agama, bangsa dan negara.

Bangsa Malaysia

Mengenai soal bangsa Malaysia yang dibangkitkan oleh wakil Johor, Najib berkata: "Saya fikir tidak payahlah ia menjadi satu polimik yang hangat kerana yang penting ialah bila kita sebut bangsa Malaysia, ia tidak berpaksi kepada mana-mana peruntukan dalam perlembagaan.

"Ia adalah satu konsep umum di mana semakin hari semakin kurang rasa prejudis antara kaum di negara ini, semakin hari kita rasa kita semakin menjadi satu bangsa. (Namun) hak keistimewaan orang Melayu (tetap) kita pertahankan."

Mengenai agenda Melayu pula, Najib mengulangi bahawa tiada had dan tempoh masanya tetapi menegaskan pentingnya perkongsian kuasa antara pelbagai kau, yang disifatkannya sebagai satu langkah kehadapan.

"Dalam kata lain, kita dengan jelas mengiktiraf sumbangan semua kuam dalam pembangunan negara," katanya sambil menambah, dalam melindungi hak orang Melayu, semangat perkongsian kuasa itu mesti dikekalkan.

Menyentuh isu dadah yang turut dibangkitkan oleh perwakilan Kedah yang mencadangkan semua penagih dadah ditempatkan di sebuah pulau.

Najib berkata, 70 peratu daripada 300,000 penadih adalah anak-anak Melayu yang mesti diselamatkan dan bukannya dicampak ke pulau.

Mengenai isu graduan menganggur, Timbalan Perdana Menteri itu berkata sehingga Julai lalu, terdapat kira-kira 50,000 graduan menganggur.

Bagaimanapun, tegasnya, sehingga September lalu, kira-kira 20,000 daripadanya telah ditempatkan di sektor awam.

Manakala agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pula, tambah Najib, telah menyediakan skim latihan untuk kira-kira 3,000 graduan serta mengadakan karnibal kerjaya untuk membantu mereka mendapatkan pekerjaan mengikut kelulusan masing-masing. Berita asal