PM: Terpulang pada Pemuda untuk bertindak pada Mukhriz
Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata terpulang kepada Pemuda Umno untuk mengambil tindakan terhadap exconya, Datuk Mukhriz Mahathir yang melanggar kata sepakat pergerakan itu berhubung ucapan dasarnya.
Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata terpulang kepada Pemuda Umno untuk mengambil tindakan terhadap exconya, Datuk Mukhriz Mahathir yang melanggar kata sepakat pergerakan itu berhubung ucapan dasarnya.
"Itu masalah Pemuda, biarkan Pemuda yang putuskan. Saya ada diberitahu Mukhriz telah bertindak tidak selari dengan keputusan pucuk pimpinan pergerakan itu," katanya dalam sidang akhbar selepas menggulung perbahasan di hari terakhir perhimpinan agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) petang ini.
Ditanya adakah wajar Mukhriz meletakkan jawatannya kerana tidak sehaluan lagi dengan pucuk pimpinan pergerakan itu, Abdullah berkata, terpulang kepada beliau sendiri untuk memutuskannya.
"Terpulang kepada beliau, saya tidak membuat keputusan bagi pihaknya. Bagaimanapun saya rasa komen beliau itu tidak betul sama sekali," kata Perdana Menteri.
Selasa lalu, Mukhriz dilaporkan membuat komen bahawa ucapan dasar Presiden tidak berisi dan tidak mengandungi apa-apa yang baru. Ulasan Mukhriz itu mendapat bantahan keras Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, exco-exco Pemuda dan ketua-ketua Pemuda Umno negeri.
Hishamuddin telah membuat teguran terbuka kepada Mukhriz dan kemungkinan mengenakan tindakan disilpin kepada anak Dr Mahathir itu.
Dalam sidang akhbar itu, Abdullah juga ditanya tentang keselarian tindakan menahan pesalah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dengan pendekatan Islam hadhari.
ISA dan Islam Hadhari
Beliau menegaskan, tindakan menahan tanpa bicara di bawah ISA dan Islam hadhari adalah selari dan adil walaupun suspek ditahan tanpa perbicaraan.
"Mereka ditahan kerana ada bukti dan dilepaskan apabila sudah menjadi baik," ujarnya.
Menyentuh tentang langkah-langkah memerangi rasuah pula, Perdana Menteri menegaskan beliau tidak keseorangan dalam memperjuangkan agenda tersebut
Beliau mengakui isu tersebut kurang diperkatakan oleh para pembahas tetapi itu tidak bererti mereka tidak menyokong tindakannya memerangi gejala itu.
"Memang saya berharap mereka menyentuhnya secara lebih luas...tetapi saya tidak boleh arah mereka," katanya.
Mengenai perbahasan kali ini pula, Abdullah berpuas hati dengan perjalanan dan hasil perhimpunan tersebut.
"Walaupun macam-macam diperkatakan, akhirnya keputusan yang dibuat adalah keputusan yang baik," tambahnya.

