Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersatu ajak orang Melaka 'berjemaah' hukum BN
Diterbitkan:  Nov 6, 2021 4:39 PM
Dikemaskini: 9:21 AM

PRN MELAKA | Ketika tarikh untuk memilih kerajaan yang baru bagi mentadbir Melaka semakin hampir, seorang pemimpin Bersatu menggesa orang ramai menghukum Umno dan BN "secara berjemaah" 20 Nov ini.

Anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata hal itu kerana parti terbabitlah yang bertanggungjawab menumbangkan Ahmad Faizal Azumu daripada jawatan menteri besar Perak pada awal Dis tahun lalu.

Katanya parti yang sama juga terlibat dalam gerakan menjatuhkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Untuk rekod Muhyiddin merupakan presiden Bersatu manakala timbalannya ialah Ahmad Faizal.

Umno juga, kata Muhammad Faiz, bertanggungjawab menjadikan Melaka sebagai mangsa akibat tindak-tanduk pemimpin parti berkenaan.

"Setelah menumbangkan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal secara bersengkongkol dengan DAP, dan mensabotaj perdana menteri kerajaan bersama iaitu Muhyiddin sehingga jatuh, kini Melaka menjadi mangsa apabila puak yang sama gila berebut keuntungan daripada bisnes pasir.

"Oleh yang demikian rakyat Melaka wajarlah menghukum Umno-BN ini secara berjemaah dalam PRN ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Benci Bersatu, angkuh pada PAS

Bagaimanapun Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan yang mengenai isu pasir berkenaan. 

Isu pasir didakwa menjadi antara sebagi empat Adun kerajaan menarik sokongan mereka kepada Sulaiman Md Ali sebagai ketua menteri, sekali gus menyebabkan dia kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.

Tanpa menamakan sesiapa salah seorang Adun terbabit, Idris Haron, juga mendakwa Sulaiman dikawal oleh pihak ketiga dalam pentadbiran negeri. Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Pengerusi Umno Melaka Ab Rauf Yusoh.

Ab Rauf yang juga bekas setiausaha kerja Umno Malaysia sebelum ini dilantik menjadi speaker DUN Melaka. Dialah yang mengumumkan pembubaran DUN Melaka pada 5 Okt lalu.

Di sebalik kerjasama di antara Umno-BN dan Perikatan Nasional (PN) di Putrajaya, PRN Melaka ini dijangka menyaksikan kedua-dua gabungan berkenaan akan bertembung di semua 28 kerusi DUN yang ada.

Jika menjadi kenyataan, ia akan menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru di semua kerusi yang dipertandingkan, termasuk melibatkan Pakatan Harapan (PH).

Muhammad Faiz berkata sebelum ini Bersatu cuba menyatukan parti Melayu termasuk melalui penganjuran Kongres Maruah Melayu pada 2019 di Shah Alam.

Katanya Bersatu menggerakkan inisiatif berkenaan dengan harapan Umno sudah dan boleh berubah setelah BN dikalahkan dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

"Tetapi apa yang diharapkan itu bagaikan mencurah air ke daun keladi. Umno tetap Umno.

"Walaupun ada yang masih elok di dalamnya namun kepimpinannya dikuasai oleh kumpulan yang cukup benci kepada Bersatu dan cukup angkuh kepada PAS.

"Kelompok ini juga disulami watak-watak yang masih berulang-alik ke mahkamah kerana pelbagai kes korupsi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS