Ahli Parlimen Jasin, Datuk Mohd Said Yusof mendakwa pihak tertentu cuba menuruk-burukkan namanya sekali lagi, kali ini membabitkan "masalah" dengan agensi pengawal maritim.

Beberapa bulan lalu beliau menjadi tumpuan negara apabila "bertelingkah" dengan pihak Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dalam isu "tutup sebelah mata" yang mengundang kontroversi.

"Mereka cuba menunjukkan seolah-olah saya bertindak melampau sedangkan saya tidak berbuat demikian," katanya kepadac wartawan di lobi Parlimen hari ini bagi mengulas laporan akhbar News Straits Times hari ini yang melaporkan beliau sedang menghadapi masalah dengan Agensi Penguatkuasaa Maritim Malaysia (MMEA).

Menurut laporan tersebut, Mohd Said menghadapi masalah dengan MMEA kerana agensi tersebut telah mengadu beliau cuba menghalang para pegawainya menjalankan tugas.

Satu laporan polis telah dibuat ke atas Mohd Said pada 3 Oktober lalu di mana beliau didakwa campurtangan dalam rampasan kayu bergergaji yang dilakukan oleh MMEA di jeti Sungai Linggi, Melaka.

Menurut pengadu, Mohd Said telah pergi ke pejabat MMEA di Kuala Sungai Baru sejam selepas rampasan berlaku dan mempersoalkan mengapa rampasan dibuat.

Beliau didakwa telah berkata, "nampaknya sekarang ini saya terpaksa berlawan dengan agensi maritim pula..." selepas memberitahu beliau pernah bersemuka dengan Kastam sebelum ini.

Mohd Said dikatkana telah meninggalkan kad perniagaan setelah gagal menemui pegawai MMEA.

Mengulas laporan akhber berkenaan, beliau menjelaskan hanya mahu bertanya pada agensi itu mengapa bot yang membawa kayu balak itu tidak dibenarkan berlabuh di jeti untuk diperiksa oleh Lembaga Industri Perkayuan Malaysia (MTIB).

"Hanya MTIB berkuasa memeriksa kayu-kayu itu. Selalunya Kastam menghubungi MTIB tetapi kali ini MMEA menggunakan kuasa mereka pula. Apa ini? " soalnya..

Katanya isu tersebut telah dibangkitkannya di Parlimen sebulan lalu tetapi Jabatan Perdana Menteri tidak memberikan maklum balas..

"Saya tidak faham mengapa isu ini dibangkitkan sekarang. Ia seperti isu "tutup sebelah mata" yang sengaja dibesar-besarkan tidak lama dulu, " tambahnya.