Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Langgar SOP: Polis akan panggil lima calon dari PH, BN

PRN MELAKA | Selepas menyoal calon Pakatan Harapan Kota Laksamana semalam, polis dijangka memanggil tiga lagi calon PH dan dua daripada Barisan Nasional berhubung dakwaan pelanggaran SOP semasa hari penamaan pada Isnin.

Mereka termasuk Pengerusi Perhubungan Umno Melaka Ab Rauf Yusoh dan Idris Haron daripada PKR.

Timbalan Ketua Polis Melaka Razali Abu Samah berkata pihaknya telah membuka lima kertas siasatan setakat ini selepas penyokong calon terbabit didakwa berkumpul untuk menunjukkan sokongan berhampiran pusat penamaan calon.

Pihak berkuasa telah melarang sebarang perhimpunan semasa hari penamaan calon sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko penularan virus semasa pandemik Covid-19 manakala calon hanya dibenarkan datang dengan seorang pencadang dan seorang penyokong untuk pencalonan.

"Kes Tanjung Bidara buka kertas siasatan di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 17(1) Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

"Dan empat lagi kertas siasatan dibuka di DUN lain di bawah seksyen sama iaitu di Kuala Linggi (PH dan BN), Kota laksamana (PH), Telok mas (PH) dan Selandar (PH).

"Semua calon akan dipanggil untuk direkodkan kenyataan mereka bagi membantu siasatan kami," katanya kepada Malaysiakini.

Seksyen 269 Kanun Keseksaan menetapkan kesalahan berhubung tindakan yang boleh menyebabkan penularan penyakit berbahaya, yang boleh dihukum penjara enam bulan atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Peraturan pencegahan penyakit berjangkit pula memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum enam bula atau kedua-duanya.

Menurut Razali, maklumat menunjukkan pelanggaran itu didakwa berlaku di pusat penamaan calon di Tanjung Bidara (BN), Kuala Linggi (Pakatan Harapan dan BN), Kota Laksamana (Pakatan Harapan), Telok Mas (Pakatan Harapan) dan Asahan (Pakatan Harapan).

Rauf dan Idris masing-masing bertanding di kerusi Tanjung Bidara dan Asahan, manakala calon lain yang sedang dalam penelitian ialah Julasapiyah Kassim (calon PH) dan Rosli Abdullah dari BN yang bertanding kerusi Kuala Linggi dan Ashraf Minghat (Telok Mas).

Semalam, calon PH Kota Laksamana Low Chee Leong (DAP), telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah untuk memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar SOP.

Bagaimanapun Low menafikan dia melakukan sebarang kesalahan, sebaliknya membangkitkan mengenai rombongan BN yang mengiringi Rauf ke pusat penamaan calon.

[Baca laporan asal]

Lihat Komen
ADS