‘PN realistik menang di Melaka, calon KM kita tinggal misteri dulu’
PRN MELAKA l Perikatan Nasional (PN) yakin mampu memenangi pilihan raya negeri Melaka walaupun ramai penganalisis menjangkakan parti-parti utama gabungan itu, termasuk Bersatu dan PAS akan tersingkir.
Bagaimanapun, gabungan itu tidak akan mengumumkan calon ketua menterinya buat masa ini.
Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata perbincangan mengenai siapa yang sepatutnya menjadi ketua menteri telah diadakan, tetapi hanya akan mengumumkan calon berkenaan selepas mereka memenangi pilihan raya.
“Kita tinggal misteri dulu buat masa ini,” katanya.

Ditanya mengenai peluang PN memenangi sekurang-kurangnya 15 kerusi daripada 28 kerusi yang dipertandingkan, Wan Saiful berkata parti itu realistik dalam jangkaan mereka.
“Di peringkat PN kita realistik dalam jangkaan kita, iaitu kita ada peluang yang baik. Peluang kita cerah.
“Rakyat melihat kita adalah gabungan yang fokus, kita adalah (parti yang) jaga kebajikan rakyat. Tak gaduh sesama kita, tak bertelagah sesama kita,” katanya.
Bersatu memenangi dua kerusi di Melaka pada 2018 apabila ia menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan.

Sementara itu, rakan kongsinya PAS dan Gerakan masing-masing gagal memenangi sebarang kerusi di negeri itu pada 2018.
PN berdepan dengan sekurang-kurangnya pertandingan tiga penjuru menentang BN yang diterajui oleh Umno, dan Pakatan Harapan (PH). Menurut ramai penganalisis, peluang PN untuk memenangi pilihan raya kali ini adalah tipis.
Ditanya sama ada mereka sanggup bekerjasama dengan parti lain untuk membentuk kerajaan negeri baru, Wan Saiful berkata keputusan akan dibuat selepas hari pengundian pada 20 November nanti.
Katanya, pengalaman lalu menunjukkan bahawa gabungan pasca pilihan raya dan mereka yang mempunyai majoriti tipis adalah tidak stabil.

“Kita berharap supaya rakyat negeri melaka ambil iktibar daripada apa yang berlaku semasa kerajaan terdahulu dan memilih PN supaya kita bentuk satu kerajaan yang kuat dari segi majoritynya.
“Sekiranya itu tidak dicapai, kita tunggulah lepas PRN baru kita tengok apa yang berlaku.
Saya tidak suka (buat) spekulasi,” katanya.

