Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Tengok TV, macam PN tak ada langsung'
Diterbitkan:  Nov 12, 2021 9:30 AM
Dikemaskini: 1:40 AM

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin meminta ruang diberikan kepada kepada gabungan itu untuk memperkenalkan calon mereka bagi pilihan raya negeri (PRN) Melaka di kaca televisyen.

"Semalam saya melihat dalam televisyen nampaknya macam tak ada parti lain bertanding. 

"Barisan Nasional saja, dan Pakatan Harapan sedikit sebanyak. Macam PN tak ada langsung," katanya pada program Pentas PRN Melaka yang turut disiarkan secara langsung di Facebook malam tadi.

Muhyiddin berkata keadaan sebegitu tidak menggambarkan ruang yang adil dan saksama untuk calon PN.

"Saya minta YAB perdana menteri, menteri penerangan, Tan Sri Annuar Musa dan juga pihak televisyen yang ada, media, berlaku adil supaya dalam situasi sukar di waktu pandemik Covid-19 ada ruang dan peluang memperkenalkan parti kita dan calon-calon kita yang bertanding di negeri Melaka ini," katanya.

Dia turut menggesa kerajaan memberikan kelonggaran terhadap kekangan berkempen secara bersemuka, dengan meminta calon-calon bertanding dibenarkan bertemu pengundi.

"Sebagai contoh, supaya calon-calon kita yang bertanding ini diberikan lebih banyak kemudahan, kebebasan untuk boleh turun (berkempen). 

"Pasal kalau calon tak turun berjumpa dengan pengundi, saya kira agak tidak memberikan gambaran yang baik, seolah-olah kita ini sombong, tak sedia jumpa (pengundi). 

"Maklumlah di kampung mereka berharap kita datang berjumpa tapi ada halangan dan sekatan," katanya.

Kelmarin Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa berkata kerajaan bersedia menimbang untuk memberi ruang kepada calon PRN Melaka termasuk dari pembangkang untuk berkempen menerusi saluran televisyen dan radio rasmi kerajaan.

Annuar berkata ini kerana kerajaan memahami kesulitan dialami semua parti politik terutama calon baru untuk berkempen dalam suasana norma baru.

“Saya faham masalah mereka dan saya terima hakikat bahawa ada orang cakap ia sedikit ‘handicap’ (sulit) terutama kepada calon baru.

“Walaupun parti politik memperkenalkan kaedah baru (berkempen), tetapi masih (ada keperluan) memberi peluang kepada mereka muncul di rangkaian televisyen.

Semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim turut mencadangkan kerajaan membuka ruang kepada semua calon yang bertanding untuk berdebat secara terbuka.

Lihat Komen
ADS