mk-logo
Berita
Judi ekor: Mufti P Pinang nasihat Sanusi hati-hati keluar kenyataan
Diterbitkan:  Nov 15, 2021 9:59 PM
Dikemaskini: 2:03 PM

Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor menasihati Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh mendatangkan kontroversi dengan pemimpin negeri lain.

Ini ekoran kenyataan Sanusi yang mengaitkan kegiatan judi ekor dengan Pulau Pinang, yang disifatkan Wan Salim sebagai sesuatu yang tidak wajar dan mendukacitakan.

“Selaku seorang ‘abang’ suka saya menasihati MB Kedah ini supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

“Beliau perlu menjaga imej jawatan yang disandangnya sebagai seorang pemimpin sebuah kerajaan negeri yang dihormati, bukan sebagai pemimpin di peringkat kampung atau kawasan yang pengaruhnya agak terhad.

“Beliau juga seboleh-bolehnya cuba tidak membuat kenyataan-kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi dengan pemimpin-pemimpin negeri yang lain, terutama negeri jiran, sebaliknya berusaha menjalin hubungan yang mesra dengan semua pihak,” katanya pada satu kenyataan.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Semalam, ketika mengumumkan yang Kedah bakal mengharamkan operasi semua kedai nombor ekor dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka, Sanusi menyebut Pulau Pinang sebagai destinasi yang harus dituju untuk membeli nombor ekor.

“Kerajaan tidak akan beri lesen (baru), kalau you nak beli (nombor ekor), beli di Pulau Pinang.

“Saya Islam tak boleh main judi. Nanti kat akhirat saya kena tanya, aktiviti macam ni anda buat apa? Kalau saya cakap saya tak buat, saya kena tibai,” katanya.

Wan Salim menyifatkan kenyataan Sanusi itu sebagai suatu penghinaan terhadap pelbagai institusi agama Islam di Pulau Pinang yang sentiasa komited kepada usaha-usaha bagi memartabatkan kedudukan Islam.

Katanya, kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan tetap terpelihara dan diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan, termasuk peruntukan mencecah RM70 juta sejak 2008 kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang.

“... Beliau sepatutnya mempamerkan kematangan berfikir dan menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dalam menghayati semangat Keluarga Malaysia sebagaimana yang dicetuskan oleh perdana menteri baru-baru ini,” kata Wan Salim lagi. 

Lihat Komen
ADS