Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainual Abidin berkata para pemimpin Islam mesti bersama-sama menangani persoalan mengenai murtad dan cabaran-cabaran yang lain, dan bukannya melakukan perkara yang boleh menjejaskan lagi agama itu dan masyarakat Islam.

Ketika diminta mengulas mengenai ketegangan ekoran isu murtad, Asri berkata, mereka telah mengalihkan tumpuan daripada persoalan mengapa umat Islam menjadi murtad.

Sebaliknya, kata beliau, mereka mendesak supaya tindakan diambil terhadap umat Islam yang menjadi murtad dan penyokong bukan Islam.

Asri, seorang pensyarah di Universiti Sains Malaysia sejak 2003, dilantik sebagai mufti Perlis pada 1 November lalu, menggantikan Datuk Mat Jahya Hussin. Berusia 35 tahun, anak kelahiran Pulau Pinang itu merupakan individu paling muda memegang jawatan tersebut.

Pada masa lalu, pihak berkuasa agama menegaskan pentingnya dijawab persoalan yang dibangkitkan oleh golongan murtad dan memperjelaskan sebarang kekeliruan mereka mengenai Islam, katanya ketika dihubungi.

"Ini menjadi semakin penting pada masa sekarang ketika wujud usaha untuk memutarbelitkan agama berkenaan," katanya.

Katanya, persoalan seperti mengapa umat Islam menjadi murtad, adalah merupakan cabaran lebih relevan yang dihadapi umat Islam dan pemimpin Islam sekarang, berbanding dengan desakan supaya diadakan debat mengenai hukuman terhadap orang murtad.

Sambil menegaskan bahawa fokusnya 'sudah lari', Asri berkata, usaha untuk menangani punca-punca mengapa umat Islam menjadi murtad adalah penting daripada bercakap mengenai hukuman terhadap mereka.

Katanya, pemimpin Islam tidak boleh lagi mengenepikan isu-isu yang berkaitan dengannya.

Mengenai debat tentang jumlah rasmi umat Islam yang murtad di mana ada pihak yang mengatakan jumlahnya minimum, serta khabar angin yang mendakwa, ianya mencecah raturan ribu Asri berkata, beliau bimbang umat Islam akan terjerumus ke dalam perangkap oleh mereka yang sengaja membesar-besarkan jumlahnya.

Perlu dibuktikan

Asri juga menyentuh tentang apa yang berlaku terhadap pelayar negara, Datuk Azhar Mansor yang baru-baru ini menjadi bahan khabar angin kononnya beliau telah murtad.

Dalam hal ini, beliau berkata, dalam Islam, beban membuktikannya terletak di bahu mereka yang membuat tuduhan.

Dalam kes ini, katanya, pelayar negara itu terpaksa mengumumkan secara terbuka bahawa beliau tidak bersalah.

"Agama tidak membenarkan menuduhkan sesiapa sahaja dan kemudian berkata 'buktikan anda tidak bersalah'. Agama menuntut orang yang membuat tuduhan supaya mengemukakan bukti kesalahan tersebut," tegas Asri.

"Bagaimanapun, dalam kes ini, yang dituduh itu pula yang terpaksa membuktikan yang dia tidak bersalah. Tetapi kerana pemimpin agama yang membuat semua ini, maka ia menimbulkan banyak kekeliruan tentang Islam," katanya.

Isu murtad ini menjadi perhatian umum, terutama selepas tersebarkan khidmat pesanan ringkat (SMS) awal bulan ini yang mendakwa kira-kira 600 Melayu akan dibaptiskan di sebuah gereja di Ipoh, Perak.

SMS itu mendakwa upacara baptis itu akan diketuai oleh Azhar pada 5 November.

Ekoran itu, kira-kira 300 umat Islam berhimpun di hadapan gereja tersebut, sehingga pihak polis terpaksa dipanggil untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Sewaktu perhimpunan agung Umno baru-baru ini, Azhar telah mengadakan satu sidang akhbar untuk mengumumkan beliau masih beragama Islam. Berita asal