Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Langgar SOP Covid-19: Pekan dalam perhatian saya, kata KJ

PARLIMEN l Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata beliau sentiasa memerhatikan kempen bekas perdana menteri Najib Razak yang didakwa berulang kali melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 semasa pilihan raya negeri Melaka yang sedang berlangsung.

“Sudah pasti Pekan (Najib) ada dalam perhatian saya sentiasa setiap hari dan saya akan maklumkan kepada pihak penguatkuasa,” kata Khairy, ketika menjawab RSN Rayer (Harapan-Jelutong) yang mencelah semasa ucapan penggulungan Bajet 2022 menteri. di Dewan Rakyat hari ini.

Rayer merujuk kepada rakaman sebuah video hari ini yang memaparkan Najib menurunkan tandatangan atau autograf di sebuah motosikal semasa berkempen pada pilihan raya negeri Melaka.

Ahli Parlimen Jelutong itu juga berkata, bahawa ini bukan kali pertama Najib dirakamkan melanggar SOP semasa berkempen di Melaka.

Justeru, pemimpin DAP itu mempersoalkan sama ada kementerian kesihatan bercadang untuk mengambil tindakan terhadap bekas perdana menteri itu atau melepaskannya.

“Saya minta menteri beri perhatian kepada perkara itu, kalau boleh keluarkan kompaun terus kpd Pekan sebab dia selalu tak mematuhi SOP di Melaka.

“Kes-kes (penularan wabak Covid-19) di Melaka sudah meningkat, jumlah yang dimasukkan ke hospital juga naik,” katanya.

Rayer turut menawarkan khidmatnya untuk menghantar video berkenaan kepada Khairy bagi memudahkan siasatan dan menggesa kementerian mengenakan denda maksimum iaitu RM50,000 kepada Najib yang berulang kali melanggar SOP,

“Ya, malu apa bossku,” sindir Khairy dalam jawapannya.

‘Malu apa bossku’ adalah frasa yang sering dikaitkan dengan penyokong Najib kepada bekas presiden Umno yang juga diberi jolokan sebagai ‘bossku’ selepas pilihan raya umum ke-14.

Sebelum ini, Najib turut dilihat gagal mematuhi penjarakan fizikal dalam beberapa gambar pada majlis BN di Asahan, Melaka.

Penganjur acara itu kemudiannya didenda RM20,000 kerana gagal memastikan penjarakan sosial.


Lihat Komen
ADS