Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Abdul Rashid Abdullah dan seorang pemimpin Pemuda Umno tempatan telah dikaitkan dengan tindakan merobohkan sebuah kuil Taoist di Bukit Mertajam minggu lalu.

Ketua Wanita DAP, yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng mendakwa, terdapat surat-surat yang membuktikan bahawa Abdul Rashid dan Ketua Pemuda Umno Bukit Mertajam, Ramlan Ishak meminta kuil itu dirobohkan.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, beliau berkata, surat-surat tersebut yang dihantar kepada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), mendakwa, kuil itu dibina secara haram.

Dalam surat bertarikh 24 Februari tahun lalu, Pemuda Umno Bukit Mertajam berharap MPSP merobohkan kuil tersebut kerana kedudukannya yang terlalu dekat dengan Jalan Maju dan tidak sesuai dijadikan tempat ibadat.

Manakala satu lagi surat bertarikh 18 Ogos tahun ini, ditandatangani oleh Zulkafli Kamaruddin, iaitu setiausaha sulit timbalan ketua menteri, yang dihantar kepada Yang Dipertua MPSP, Md Aris Ariffin..

Surat tersebut menyatakan, berdasarkan kepada aduan yang diterima daripada penduduk, NGO dan parti-parti politik, Abdul Rashid selaku Timbalan Ketua Menteri, menyokong kuil tersebut dirobohkan sebelum berlaku perkara yang tidak diingini.

Tidak diberi amaran

Satu notis untuk merobohkan kuil berusia 20 tahun itu telahpun dikeluarkan tetapi ekoran rayuan yang dibuat oleh Exco Kerajaan Negeri, Datuk Toh Kim Woon dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Berapit, Lau Chiek Tuan, ianya ditangguhkan sehingga selepas mesyuarat exco negeri diadakan semalam.

Bagaimanapun, MPSP telah merobohkan kuil itu Jumaat lalu tanpa memaklumkannya kepada Toh dan Lau. Anggota polis terpaksa melepaskan tembakan amaran bagi meleraikan mereka yang membantah tindakan tersebut.

Kuil itu dibina pada 1985 dan dipindahkan di Jalan Maju tahun lalu, selepas tapak asalnya, kira-kira beberapa meter dari itu, dijual kepada pemaju hartanah.

Sementara itu, Chong Eng berkata, kuil yang dirobohkan itu terletak bersempadan dengan projek pembangunan yang dicadangkan itu.

Menurutnya lagi, Abdul Rashid merupakan orang kenamaan yang telah melancarkan projek pembangunan berkenaan.

Oleh itu, Chong Eng mendakwa, wujud konflik kepentingan dalam hal tersebut yang membabitkan timbalan ketua menteri.

Dr Koh diminta bertindak

Bercakap dalam sidang akhbar yang sama, Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang berkata, Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dilaporkan berkata beliau akan menyiasat siapakah yang bertanggungjawab terhadap tindakan meroboh kuil tersebut.

"Daripada dokumen (surat-surat) tersebut, adalah jelas bahawa orang yang bertanggungjawab terhadap tindakan meroboh kuil itu adalah timbalan ketua menteri. Nampaknya Koh (foto) tidak diberitahu langsung mengenai perkara itu.

"Adakah beliau seorang ketua menteri yang mempunyai kuasa atau tiada kuasa? Koh mesti mengambil tindakan tegas berhubung surat-surat tersebut dan menuntut penjelasan daripada timbalannya mengapa ia dilakukan di belakangnya," tambah Lim yang menyifatkan ianya sebagai satu perbuatan pengingkaran. Berita asal