Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tey Kok Kiew letak jawatan Pengerusi DAP Melaka
Diterbitkan:  Nov 21, 2021 3:26 PM
Dikemaskini: 7:26 AM

Tey Kok Kiew hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi DAP Melaka, selepas parti itu gagal mempertahankan separuh daripada kerusinya pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka semalam.

Peletakan jawatan itu dibuat selepas DAP tewas empat kerusi DUN daripada lapan kerusi yang ditandinginya pada PRN berkenaan.

Dalam sidang medianya hari ini Tey juga turut memohon maaf dan mengambil tangungjawab ke atas kegagalan PH membentuk kerajaan negeri.

“Kita bukan sahaja gagal membentuk kerajaan negeri yang baru, malah lapan kerusi yang kita menangi pada pilihan raya umum 2018 telah berkurangan kepada empat.

"Ini adalah keputusan peribadi saya. Saya ingin memohon maaf kepada ahli DAP, rakan sekutu PH dan penyokong kami kerana gagal mencapai sasaran kami.

"Sebagai ketua negeri, saya mesti bertanggungjawab sepenuhnya ke atas keputusan pilihan raya negeri. Saya dengan ini mengumumkan bahawa saya meletakkan jawatan sebagai ketua negeri, berkuat kuasa serta-merta," katanya.

Bagaimanapun, Tey berkata dia akan kekal sebagai ahli DAP.

Dalam PRN yang berlangsung semalam, DAP hanya berjaya mempertahankan empat kerusi  iaitu Kota Laksamana, Kesidang, Bandar Hilir dan Ayer Keroh.

Tey sendiri tewas dalam pertandingan lima penjuru di kerusi DUN Bemban.

Ahli politik berusia 49 tahun itu memenangi kerusi Bandar Hilir sejak pilihan raya umum 2008 sebelum beralih ke Bemban, yang dimenangi Wong Fort Pin pada 2018.

Lihat Komen
ADS