Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud naik angin di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini selepas seorang pemimpin pembangkang mempersoalkan mengenai kekayaan serta kepentingan perniagaan keluarganya sejak beliau berkuasa pada 1981.

Taib memetik kata-kata Confucius yang bunyi "jika seorang pemimpin itu kaya dan rakyatnya tidak miskin, maka dia adalah seorang pemimpin yang baik. Tetapi jika seorang pemimpin itu kaya dan rakyatnya miskin, maka dia bukan seorang pemimpin yang baik".

Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP Kota Sentosa, Chong Chieng Jen berkata beliau "keliru" dengan kenyataan ketua menteri itu.

Ketua pembangkang itu mendakwa, memang diketahui umum bahawa keluarga Taib adalah kaya tetapi Sarawak masih kekal sebuah negeri miskin walaupun ia memperolehi 50 peratus daripada pendapatannya daripada hasil minyak dan gas serta sumber-sumber asli yang lain, seperti balak.

Dianggarkan keluarga Taib bernilai sekurang-kurangnya RM2 bilion, walaupun ia tidak disahkan secara rasmi.

Malah, kata Chong, laporan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) juga menunjukkan garis kemiskinan di Sarawak berada di bawah paras purata nasional, begitu juga dengan pendapatan bulanan individu.

"Ini tidak sepatutnya berlaku kerana Sarawak merupakan salah sebuah negeri terkaya di Malaysia dengan sumber-sumber aslinya.

"Ia menunjukkan dengan jelas bahawa kerajaan negeri tidak menguruskan negeri ini dengan baik," katanya, sambil menambah bahawa tanpa sumber aslinya, Sarawak akan muflis.

"Namun pemimpin kita hidup senang dan kaya-raya," katanya yang jelas tidak disenangi oleh ketua menteri.

Sentuh soal peribadi

Taib naik angin dan mula meninggikan suaranya sesuatu yang jarang dilakukannya. Beliau memberitahu pemimpin DAP itu jika beliau mahu menyentuh soal peribadi, beliau (Taib) juga boleh berbuat demikian.

Taib juga mencabar Chong supaya mengulangi dakwaannya itu di luar Dewan Undangan Negeri.

Sebelum itu, Chong merujuk kepada sebuah rencana dalam akhbar Australia mengenai kekayaan keluarga Taib, sambil berkata, laporan seumpama itu tidak membantu menarik pelaburan asing.

Pemimpin DAP itu berkata, beliau tidak berniat untuk mencemar imej ketua menteri tetapi hanya membangkitkan isu itu dalam sidang dewan kerana awam beranggapan sejak Taib berkuasa, keluarga menjadi kaya-raya.

Beberapa Adun Barisan Nasaional (BN) bangun untuk mempertahankan Taib dan membidas pemimpin pembangkang itu.

Pihak pembangkang sering berusaha membangkitkan isu mengenai kekayaan keluarga Taib, terutama pegangan besar isterinya, Laila, dalam syarikat tersenarai Cahaya Mata Sarawak (CMS) Bhd dan banyak lagi anak syarikatnya.

Sehingga ini, kerajaan negeri mengelak daripada menjawab soalan tersebut yang dikemukakan di sidang Dewan Undangan Negeri. Berita asal