Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bekas pengerusi DAP Sabah keluar parti, bantah keputusan pemilihan
Diterbitkan:  Nov 23, 2021 10:25 AM
Dikemaskini: 3:08 AM

Bekas pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta-merta selepas tiga ahli parlimen secara mengejut tewas dalam pemilihan DAP negeri baru-baru ini.

Pemimpin veteran itu mengecam kepimpinan negeri yang baru kerana bermain politik dengan pihak yang kalah daripada mengambil pendekatan inklusif.

Dia memutuskan untuk menjadi "orang bebas" mendakwa pemilihan parti memusnahkan apa yang diperjuangkan DAP dan perpaduan dalam parti di Sabah.

Tanpa menyebut sebarang nama, dia berkata pihak berkenaan menunjukkan contoh buruk kepada DAP Sabah dan mereka tidak sabar-sabar untuk berjaya dengan cepat.

Dia memberi amaran pihak yang menang dalam pemilihan parti negeri boleh membawa krisis kepada parti.

Wong kecewa kerana ahli politik gagal mengambil pendekatan inklusif, yang mengakibatkan kekalahan Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin, Adun Kepayan dan Ketua Wanita DAP Sabah Jannie Lasimbang, bekas senator Adrian Lasimbang dan Adun Elopura Calvin Chong dalam pemilihan parti negeri. .

Bekas menteri kesihatan Sabah Frankie Poon telah dipilih sebagai pengerusi DAP negeri dan Phoon Jin Zhe menggantikan Chan sebagai setiausaha negeri yang baru.

Anak lelaki Wong, Justin, yang merupakan Adun Sri Tanjong dan ahli jawatankuasa negeri yang baru dilantik, memperoleh undi terbanyak semasa pemilihan parti.

"Saya telah mempromosikan dan memupuk generasi baru. Poon dan Phoon adalah bakat yang dibawa masuk ke dalam parti (oleh seseorang)," katanya dipetik akhbar Overseas Chinese Daily News semalam.

Wong berkata mereka yang dikecualikan daripada jawatankuasa negeri juga juga merupakan aset DAP Sabah.

"Anda tidak mengekalkan kesetiaan, dan anda tidak mahu pemikir parti berada dalam jawatankuasa, jadi apa yang anda mahu?" dia dipetik sebagai berkata oleh The Star.

“Saya antara ahli tertua yang telah bersama parti sejak 2007 dan saya antara yang membawa parti ini daripada tiada kepada keadaan sekarang.

"Tetapi dalam pemilihan negeri baru-baru ini, kamu tidak menjemput saya pun, malah saya tidak dinamakan sebagai penasihat lagi, penghinaan apakah ini," soalnya.

Wong, yang juga bekas ketua DAP Sabah dan bekas Adun Sri Tanjung, dijangka mengadakan sidang media di Tawau hari ini.

Lihat Komen
ADS