Bapa Altantuya Shaariibuu, guru dan model sampingan dari Mongolia yang dibunuh dengan kejam empat minggu lalu di Malaysia, berhasrat untuk membuat filem tentang kehidupan anaknya itu, sebagai menghormati pemergiannya.

Dalam wawancara eklusifnya dengan Bernama, Dr Shaariibuu Setev, 56, berkata filem itu akan menjadi memoir yang tidak ternilai harganya kepada anaknya, dan beliau sendiri akan menjadi penulis serta pengarah filem itu.

"Saya belum memilih tajuknya lagi, tapi sudah menyediakan garis kasar tentang jalan ceritanya. Kerja-kerja bagi menjayakannya akan bermula secepat mungkin.

"Ini sahaja penghormatan yang saya dapat berikan kepada anak kesayangan saya, dan saya sudah berjanji dengan diri saya untuk bekerja keras merakamkan perjalanan hidupnya. Altantuya tidak akan kembali lagi, tapi ingatan tentangnya tetap tidak akan pudar," katanya menerusi seorang penterjemah dalam temuramah eksklusif dengan Bernama semalam.

Shaariibuu, yang merupakan pengarah Universiti Pusat Pendidikan dan Maklumat Mongolia berkata filem itu akan memberi tumpuan kepada perjalanan hidup Altantuya sejak kecil sehingga hari-hari terakhir dalam hidupnya.

Lokasi utama akan bertumpu di Ulan Bator dan Moscow, Russia, memandangkan Altantuya menghabiskan banyak masanya di dua tempat berkenaan sejak 1982, katanya.

Shaariibuu, yang pernah menghasilkan 16 episod program Discovery Channel tentang Mongolia beberapa tahun lalu, menjangka filem itu akan disiapkan dalam tempoh setahun.

Saat-saat tragis

"Ia bukan satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan kerana ia membabitkan perasaan dan emosi saya, walaupun saya seorang ahli psikologi, adakalanya amat sukar melindungi kesedihan anda, tapi anda tetap perlu melakukannya demi keluarga anda.

"Saya perlu tempatkan diri saya sendiri pada saat-saat tragis dalam hidupnya di samping merasai sendiri kegerunan yang dialaminya saat-saat akhir hidupnya," katanya.

"Saya bukannya hendak menampilkan diri sendiri atau mengaur untung menerusi filem ini, tapi untuk menunjukkan kepada dunia tentang anak saya, yang dibunuh dengan cara yang tidak dapat dibayangkan sesiapa," tambahnya.

Semasa ditanya pandangannya secara peribadi tentang laporan-laporan media berhubung kes pembunuhan Altantuya, beliau terus melahirkan rasa kesal mengenainya.

Katanya beliau merasa amat sedih melihat gambar-gambar beberapa model yang tidak sopan, yang didakwa gambar Altantuya, disiarkan oleh beberapa akhbar di Malaysia.

"Untuk pengetahuan anda, saya juga adalah penulis di Mongolia, dan saya tahu tentang etika kewartawanan. Sebagai seorang bapa, saya merasakan adalah tidak beretika bagi akhbar untuk menyiarkan gambar-gambar itu untuk mengaut untung.

"Tolonglah, cubalah ikhlas dalam penulisan, dan tanya diri anda sendiri sama ada kisah itu benar atau tidak. Mudah sahaja, jika anda boleh tempatkan diri anda dalam kesengsaraan orang lain, kemudian anda akan

memahaminya dengan lebih baik. Jadilah professional dalam bidang kewartawanan ini," katanya.

Liputan meluas

Beliau menegaskan bahawa laporan-laporan yang dipetik oleh sesetengah akhbar di Mongolia adalah tidak betul dan merosakkan nama baik bidang kewartawanan.

Shaariibuu dan anak saudaranya Gal Ochir, 26, akan berlepas ke Mongolia malam ini dengan penerbangan China Airways.

Pembunuhan ngeri Altantuya mendapat liputan meluas di Malaysia dan di Mongolia ekoran spekulasi bahawa selain daripada ditembak, bahan letupan turut digunakan bagi meletupkan mayatnya.

Serpihan tulang-tulang yang disahkan kemudian sebagai milik Altantuya, ditemui di kawasan hutan dekat Empangan Subang di Puncak Alam, Shah Alam awal bulan ini.

Altantuya yang tiba di Malaysia pada 6 Okt lalu dengan sepupunya, dilaporkan mencari seorang lelaki Malaysia iyang dikenalinya di Mongolia.

Apabila beliau hilang pada 19 Okt, sepupunya itu membuat laporan polis dan meminta bantuan Kedutaan Mongolia di Bangkok.

Dua anggota polis dari Unit Tindakan Khas, Cif Insp Azilah Hadri, 30, dan Kpl Sirul Azhar Umar, 35, dihadapkan ke mahkamah terhadap dakwaan membunuh dalam kes tersebut, manakala seorang penganalisis politik tempatan, Abdul Razak Baginda, 46, didakwa bersubahat dalam pembunuhan itu.