Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pakar: Sudah masanya benarkan ganja, ketum untuk perubatan

Sebagai ahli psikiatri dan juga pakar merawat ketagihan dadah, Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid menyaksikan sendiri kesan marijuana atau ganja ke atas pesakit, termasuk mencetuskan psikosis dalam kalangan penghidap skizofrenia dan lain-lain gangguan mental.

Justeru, dia terperanjat apabila mendapati bahan itu dapat menenangkan seorang individu autistik teruk. Individu tersebut merupakan anak lelaki pesakitnya yang mengalami kemurungan kerana tidak mampu menangani situasi si anak.

"Wanita itu memberikan minyak CBD (cannabidiol) kepada anaknya - dia cuma letakkan beberapa titik di bawah lidah si anak setiap hari - dia dapati kelakuan hiperaktif dan melampau anaknya berkurangan,” katanya.

Hal itu menimbulkan rasa ingin tahu Dr Rusdi tentang potensi kebaikan kanabis dari segi perubatan dan penggunaannya, terutama CBD iaitu bahagian bukan psikogenik pada tumbuhan itu, terhadap individu autistik teruk yang lebih tua.

Hasrat Dr Rusdi dan beberapa penyelidik lain untuk mengkaji faedah perubatan kanabis dan ketum - sejenis dadah psikotropik yang berkait rapat dengan opium namun kurang dikenali, menghangatkan lagi polemik tentang "menghalalkan” dua dadah berkenaan di Malaysia, antara negara yang mengenakan hukuman mati mandatori ke atas pengedar dadah.

Di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, pemilikan lebih 200 gram kanabis atau resin ganja dianggap sebagai bukti niat untuk mengedar, dan mereka yang ditangkap dengan jumlah itu akan berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Ketum pula disenaraikan di bawah Akta Racun 1952. Walaupun tidak dikategorikan sebagai narkotik, dan penanaman pokoknya serta penggunaan dibenarkan, penjualan bahan itu diharamkan melainkan oleh ejen sah.

Ini bermakna, jika Dr Rusdi (gambar) yang juga Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya, cuba menjalankan kajian mengenai keberkesanan CBD dalam merawat masalah kelakuan dengan menjalankan eksperimen sendiri menggunakan minyak CBD, dia berisiko menghadapi hukuman mati.

Namun ada perkembangan yang mungkin dapat mengubah senario itu.

Susulan langkah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggugurkan marijuana perubatan daripada senarai dadah berbahaya, Malaysia kini menimbang untuk membolehkan penggunaan, penjualan dan pengedaran kanabis serta ketum bagi tujuan perubatan, melalui penubuhan kaukus bipartisan bagi mengkaji aspek perundangan.

Boleh dari segi teknikal

Pada 9 Nov lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberitahu Parlimen bahawa penggunaan kanabis dibenarkan untuk tujuan perubatan di bawah undang-undang sedia ada, namun menambah produk mesti didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).

Khairy berkata penjual mesti mempunyai lesen dan permit di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik, Akta Racun serta Akta Dadah Berbahaya bagi mengimport dan menjual produk kanabis di Malaysia. Hanya pengamal perubatan berdaftar di bawah Akta Perubatan 1971 boleh membekalkan produk itu.

“Kanabis (hemp) turut dikawal di bawah Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961 dan tersenarai di bawah Jadual I Konvensyen tersebut. Kawalan utama dikenakan ke atas bahan yang tersenarai dalam Jadual I adalah dihadkan hanya untuk tujuan perubatan atau saintifik yang melibatkan pengeluaran, pembuatan, eksport, import, pengedaran, perdagangan, penggunaan dan pemilikan,” kata Khairy.

Ramai pakar sedia maklum tentang peruntukan itu, namun mereka keberatan untuk memohon kebenaran daripada Kementerian Kesihatan kerana proses yang agak sukar.

Dr Rusdi berkata sekalipun penyelidik dapat meyakinkan jawatankuasa kelulusan mengenai merit kajian mereka, kos kajian terlalu tinggi untuk diteruskan kerana mereka perlu membeli bekalan kanabis, bukan menanam sendiri yang memerlukan satu lagi proses permohonan kebenaran.

Bagaimanapun susulan kenyataan Khairy itu, ramai yang menyatakan hasrat ingin berbuat demikian.

Seorang daripada ahli kaukus itu, Ahli Parlimen Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen berharap dapat menangani permasalahan berkenaan bagi membolehkan kajian dijalankan dan seterusnya membentuk strategi kukuh bagi membenarkan dan mengawal selia penggunaan kanabis dan ketum.

“Kebenaran di sisi undang-undang tidak bermakna bahan itu akan diedarkan secara meluas di pasaran terbuka, iaitu dengan tanggapan setiap orang menggunakannya untuk khayal dan macam-macam lagi. Sebaliknya, kebenaran itu hanya bagi tujuan perubatan dan ekonomi,” jelas Dr Yii.

Kelvin Yii

Dr Yii berkata dengan membenarkan penggunaan tumbuhan itu untuk tujuan perubatan, negara akan beroleh faedah dari segi kesihatan dan juga ekonomi, mengurangkan penjualan dadah di pasaran gelap selain memastikan produk itu selamat untuk digunakan.

Antara potensi kebaikan tumbuhan itu ialah melegakan kesakitan, relaksan otot (meredakan tegang otot), antiemetik/antimuntah dan antikonvulsan, selain sebagai pengganti untuk penyalahgunaan bahan.

“(Menerusi undang-undang ini) ada elemen kawalan, kita boleh memantau pelaksanaan, kita boleh kenakan cukai, kita boleh kawal pengeluaran dan penjualan serta menilai impak secara berterusan,” tambah Dr Yii.

Pengarah Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan Universiti Sains Malaysia Prof Dr B Vicknasingam melihat ada potensi ekonomi daripada penanaman dan penjualan kanabis serta ketum di pasaran antarabangsa, namun berpendapat Malaysia patut menerajui penyelidikan ketum bersandarkan pada sejarah penggunaannya sebagai ubat tradisional sejak sekian lama di negara ini.

Tidak seperti kanabis, tidak banyak halangan untuk mengkaji ketum di Malaysia.

"Kita ada kelebihan. Kita selalu beritahu mereka yang berminat untuk melakukan penyelidikan tentang marijuana dan kanabis bahawa dunia Barat sudah mendahului dan mereka juga sudah mengeluarkan produk di pasaran,” katanya.

Dia antara lain ingin mengkaji potensi ketum sebagai ubat melegakan kesakitan dan juga dalam rawatan salah guna bahan.

Sekiranya dibenarkan di sisi undang-undang, Malaysia akan menuruti langkah beberapa negara yang telah "menghalalkan” kanabis serta menjadi negara kedua di Asia Tenggara yang membenarkan penggunaan kanabis dan ketum untuk perubatan selepas Thailand.

Guna terima dan cegah salah guna

Kebenaran penggunaan kanabis dan ketum untuk perubatan akan membawa perubahan kepada banyak sektor.

Pakar-pakar yang dihubungi Bernama, baik peguam mahupun pegawai perubatan atau aktivis antidadah, menyatakan sokongan terhadap marijuana perubatan. Bagaimanapun sokongan mereka berserta kaveat - peraturan mesti ketat bagi mencegah dan menghukum penyalahgunaan apabila penanaman dan penjualan dadah itu dibenarkan untuk tujuan perubatan.

Masyarakat tahu pasaran kanabis dunia bernilai berbilion dolar dan ketum juga berpotensi memberi nilai yang sama. Pulangan besar sedemikian pastinya menarik pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Peguam hak asasi manusia Samantha Chong berkata Malaysia boleh mencontohi Colorado, sebuah negeri di Amerika Syarikat, tentang bagaimana untuk menanam, memproses dan mengedar kanabis.

Namun katanya kerajaan perlu mengubah suai model itu agar menepati kebudayaan dan masyarakat Malaysia.

Menggambarkan perjalanannya untuk mengkaji industri kanabis di Colarado sebagai "pembuka mata", Chong berkata industri itu melibatkan semua sektor - pelesenan, impak alam sekitar, penguat kuasa undang-undang, keselamatan pekerja, sekuriti serta pengangkutan dan jualan.

"Semua tanaman dipantau menerusi CCTV dan setiap pokok ditag dengan kod bar RFID… setiap pokok kanabis boleh dijejaki daripada penanaman hingga ke dispensari,” katanya.

Menurutnya, pendapatan daripada jualan marijuana itu digunakan oleh Colorado untuk membiayai perkhidmatan sosial serta latihan pekerja dalam industri berkenaan.

Dalam pada itu, pakar perundangan berkata undang-undang mesti dipinda untuk mencerminkan status quo, seperti menggugurkan kanabis daripada senarai Jadual Pertama dalam Akta Dadah Berbahaya dan mungkin memasukkannya dalam Akta Racun seperti ketum.

Chong berkata wujud keperluan undang-undang untuk mencegah salah guna kuasa selain mengemas kini undang-undang lain termasuk Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, Akta Jualan Barangan 1957 dan Akta Penjara 1995.

Kerajaan juga perlu bersedia untuk mengurangkan hukuman ke atas pesalah yang dikenakan hukuman mati atas penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan.

"Sekiranya pindaan dibuat, pindaan hendaklah diaplikasikan secara retrospektif dan kemudian diaplikasikan dalam kes seperti Amiruddin,” kata Ramkarpal Singh, peguam bagi Amiruddin Nadarajan Abdullah atau lebih dikenali sebagai Dr Ganja, pesakit kanser berusia 63 tahun yang berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan mengedar kanabis.

Dari sudut perubatan, pakar berkata ada keperluan untuk mengubah cara kerajaan menangani masalah penagihan dan pemulihan yang pada masa ini menggunakan kaedah berbentuk hukuman.

Pakar perubatan yang berpandangan tidak sukar untuk membenarkan penggunaan kanabis perubatan dan ketum, berkata kerajaan boleh menggunakan rangka kerja sedia ada mengenai ubat-ubatan mengandungi bahan terkawal seperti opioid dan metadon.

Dr Rusdi berkata kaedah semasa melibatkan diagnosis dan preskripsi oleh pengamal perubatan terlatih dan bertauliah. Pesakit kemudian mendapatkan ubat-ubatan daripada farmasi berdaftar.

Pesakit juga perlu membawa kad perubatan yang menyatakan mereka telah dipreskripsikan bahan terkawal dan oleh siapa, sekiranya ditahan oleh pihak berkuasa.

Dia juga tidak menjangka timbul kesukaran untuk menghalang salah guna.

"Jika tidak ada diagnosis yang sahih dan kita syak mereka pengguna dadah rekreasi, maka jangan keluarkan preskripsi,” katanya.

Sisipan tentang kanabis

Hemp dan marijuana adalah kanabis, namun hemp merujuk kepada tumbuhan kanabis yang mengandungi 0.3 peratus tetrahydrocannabinol (THC) -- bahan kimia yang membuatkan seseorang khayal. Semua tumbuhan kanabis -- C. sativa, C. indica dan C. ruderalis -- mengandungi jumlah-jumlah tertentu THC dan cannabidiol (CBD).

Penyelidik perubatan dan saintis paling berminat terhadap CBD, kandungan yang kebanyakannya ditemukan dalam hemp, khususnya jenis C. sativa. Kajian-kajian terhad yang dijalankan sebelum ini menunjukkan ada faedah perubatan. Daun dan bunga pokok hemp digunakan untuk membuat minyak CBD, bahan lazim dalam kebanyakan produk penjagaan diri seperti penjagaan kulit.

Hemp juga digunakan untuk membuat kertas, pakaian, tali dan kain layar.

Ketum pula merupakan tumbuhan lazim di rantau Asia Tenggara yang digunakan sebagai ubat tradisional oleh penduduknya sejak beratus tahun dahulu. Tumbuhan yang berkait rapat dengan opium itu semakin popular di Amerika Syarikat, khususnya bagi mengawal gejala penarikan ketagihan dadah. Tumbuhan ini berpotensi menjadi faktor pengubah dalam usaha negara mengawal krisis penagihan dadah.

Hingga kini belum ada laporan tentang seseorang mengalami dos berlebihan ketum di Malaysia. Di Amerika Syarikat, kematian akibat penggunaan ketum dilaporkan berlaku akibat dicampurkan dengan dadah lain dan ubat-ubatan seperti antihistamin.

(Sumber: Prof Madya Dr Rusdi Abd Rashid, Prof B. Vicknasingam, American Society for Biochemistry and Molecular Biology, National Institute on Drug Abuse dan Medical News Today.)

-Bernama

Lihat Komen
ADS