mk-logo
Berita
Mungkin boleh makan janggut sotong saja - persatuan pengguna
Diterbitkan:  Nov 25, 2021 5:42 AM
Dikemaskini: 5:42 AM

Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM) mengingatkan pihak berkuasa supaya tidak melepaskan batuk di tangga dalam menangani aduan harga nasi kandar mahal.

Presidennya Che Hassan Che Johan berkata harga sotong di Kedai nasi kandar memang daripada dulu cukup mahal.

Merujuk kes melibatkan Restoran Hameediyah yang tular, Hassan menyindir, pelanggan mungkin mampu membeli janggut sotong saja, berdasarkan harga yang dijual.

Katanya, dia percaya harga barang mentah lebih murah berbanding harga yang dimaklumkan restoran.

“Saya harap pihak KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) tolong lebih kerap pantau harga di restoran nasi kandar yang selalu jadi rungutan dengan harga yang tidak munasabah ini.

“Perlu diingat mereka turut menjual sotong yang bersaiz kecil, yang harga di pasaran RM29/ sekilo, jangan bagi alasan sotong itu dibela dalam sankar dah 11 tahun dulu,” katanya, mengaitkan isu masakan siakap di sebuah restoran di Langkawi sebelum ini.

Restoran Hameediyah, restoran nasi kandar tertua di Pulau Pinang, yang tular kerana menjual dua ekor sotong goreng berharga RM100 mempertahankan harga tersebut.

Pengarah Restoran Hameediyah di Lebuh Campbell Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata pihaknya membeli sotong segar pada harga RM35 hingga lebih RM40 sekilogram.

Dia juga berkata harga kesemua makanan yang dijual disenaraikan dengan jelas termasuk sotong antara RM10 dan RM150 seekor berdasarkan saiz.

KPDNHEP Pulau Pinang berkata pihaknya mengeluarkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 bagi mendapatkan maklumat serta harga kos dan jualan.

Sekiranya gagal mengemukakan maklum balas yang diminta, pengusaha boleh dikenakan tindakan bawah AKHAP 2011.

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini