Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aspirasi 100 hari Kasa tercapai, kata Tuan Ibrahim

Pelaksanaan pelan strategik dengan peruntukan RM50 juta khusus bagi mengelak berulangnya tragedi kepala air dan banjir lumpur di sekitar kaki Gunung Jerai di Yan, Kedah pada 18 Ogos lepas merupakan antara penanda aras kejayaan Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa).

Menterinya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sasaran utama yang dicapai pihaknya membantu rakyat dapat dilihat menerusi pelaksanaan usaha menangani isu bekalan air, dan pelaksanaan projek mitigasi serta sistem amaran banjir bagi mengelak kejadian bencana itu berulang.

Katanya di samping itu Kasa juga meletakkan sasaran untuk melaksanakan pelbagai projek yang dapat memanfaatkan rakyat.

Antaranya program membekalkan air kepada penduduk yang tinggal jauh dari sistem paip utama.

“Kami bangunkan sistem yang dinamakan Wakaf Air. Sistem ini ialah salah satu projek yang Kasa laksanakan dalam tempoh 100 hari ini.

"Terdapat 12 projek yang Kasa letak sasaran yang dapat dimanfaatkan oleh 6,262 penduduk," katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui sebelum menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang membincangkan tajuk Aspirasi Keluarga Malaysia Kasa malam tadi.

Katanya Kasa juga sedang memperluaskan lagi sistem pengambilalihan perkhidmatan pembentungan daripada majlis-majlis perbandaran.

“Dengan pengambilalihan air ini, bermakna di Semenanjung, Indah Water Konsortium telah ambil alih sistem pengurusan pembentungan kita dan kami telah pun capai sasaran. Walaupun proses ini mengambil masa yang sangat panjang tapi kita berjaya selesaikan," katanya.

Timbalan Presiden PAS itu berkata kejayaan pihaknya mencapai sasaran yang ditetapkan sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) itu adalah hasil usaha gigih seluruh jentera Kasa dalam mencapai aspirasi Keluarga Malaysia bagi tempoh 100 hari selepas dilantik ke jawatan menteri Ogos lepas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS