mk-logo
Berita
MP kecewa baju Keluarga Malaysia dibuat di Bangladesh
Diterbitkan:  Nov 26, 2021 12:03 PM
Dikemaskini: 4:21 AM

PARLIMEN | Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin menggesa Putrajaya mengemukakan garis panduan agar produk buatan Malaysia boleh diutamakan bagi merangsang ekonomi tempatan.

Cha membangkitkan perkara itu semasa perbahasan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat semalam, selepas menyatakan rasa kecewanya apabila baju-T "Keluarga Malaysia" yang diagihkan kepada semua Ahli Parlimen dibuat di Bangladesh.

"Ini baju-T yang kami semua dapat, baju keluarga Malaysia kualitinya baik. Tadi masa cuba nak pakai, memang bagus. Cuma saya nak utarakan rasa kekecewaan, minta maaf.

"Baju ini saya dah pakai, tapi saya nampak satu kekecewaan apabila di belakang (baju-T) ditulis ia dibuat di Bangladesh.

"Saya berharap kementerian akan membangkitkan perkara ini dalam mesyuarat kabinet supaya kerajaan merangka garis panduan yang tegas untuk semua perolehan untuk produk-produk yang akan dibeli yang akan dibeli dengan dana kerajaan, tak kira kementerian mana," kata ahli parlimen DAP itu sambil mengangkat baju putih tersebut.

Sementara itu, Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) menuntut Menteri Perpaduan, Halimah Mohamed Sadique memohon maaf berhubung insiden tersebut.

"Saya cadangkan menteri perpaduan negara memohon maaf atas insiden baju-T Keluarga Malaysia," kata Wong ketika mencelah.

Bagaimanapun, celahan itu dijawab Cha dia mahu kerajaan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku ini agar ia tidak berulang lagi.

“Selepas ini, kita tidak mahu salahkan siapa-siapa. Bagi saya, apa yang penting kita sama-sama bergerak ke hadapan. Kita pastikan negara kita maju dalam kempen beli barang buatan Malaysia," tambahnya.

Lihat Komen
ADS