Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM lakukan lawatan rasmi ke Singapura esok
Diterbitkan:  Nov 28, 2021 12:08 PM
Dikemaskini: 2:05 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan lawatan rasmi pertama beliau ke Singapura esok, 29 Nov, bagi memenuhi jemputan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata lawatan itu juga adalah sempena pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Malaysia dan Singapura melalui udara dan sempadan darat.

Menurutnya Ismail Sabri dijadualkan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Halimah Yacob dan bermesyuarat dengan rakan sejawatnya Lee Hsien Loong.

"Kedua-dua pemimpin akan berbincang mengenai kerjasama dua hala Malaysia-Singapura, termasuk mengenai peluang-peluang kerjasama baru, terutama dalam usaha-usaha pemulihan daripada kesan pandemik Covid-19.

"Kedua-dua perdana menteri juga akan saling bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata lawatan itu akan dilaksanakan dengan pematuhan penuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan Singapura.

Menurutnya Ismail Sabri akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad serta pegawai-pegawai kerajaan daripada kementerian dan agensi yang berkaitan.

Sementara itu di Singapura, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar dalam satu sidang akhbar yang diadakan sempena lawatan Perdana Menteri itu berkata VTL merupakan mekanisme yang dipersetujui kedua-dua negara yang dijangka dapat memudahkan rakyat kedua-dua negara untuk pulang, tanpa menjalani kuarantin.

“Bagi pihak Malaysia ia akan beri manfaat kepada warganegara yang bekerja di Singapura yang selama ini tidak mampu atau tidak dapat pulang ke Malaysia disebabkan kekangan kuarantin dan kos yang terpaksa ditanggung,” katanya hari ini.

Ismail Sabri dijangka tiba di Woodlands Checkpoints dan disambut Lee, sebelum kedua-dua pemimpin berkenaan merasmikan VTL darat.

Lawatan rasmi itu akan bermula dengan sambutan rasmi di perkarangan Istana dengan Ismail Sabri akan memeriksa kawalan kehormat dan seterusnya menandatangani buku pelawat.

Satu upacara menamakan bunga orkid sempena nama Ismail Sabri akan diadakan sebelum Perdana Menteri mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura.

Ismail Sabri kemudian dijadual mengadakan pertemuan empat mata dengan Lee selama kira-kira 30 minit.

“Kedua-dua perdana menteri akan bertukar pandangan mengenai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” kata Dr Azfar.

Menurut beliau, sejurus selepas itu, satu sidang akhbar bersama akan diadakan oleh kedua-dua pemimpin berkenaan.

- Bernama

Lihat Komen