Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DUN Johor lulus belanjawan negeri 2022
Diterbitkan:  Nov 28, 2021 8:48 PM
Dikemaskini: 1:06 PM

DUN JOHOR | Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini meluluskan Belanjawan Johor 2022.

Speaker DUN Suhaizan Kaiat memaklumkan belanjawan itu diluluskan secara majoriti dengan 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mengangkat tangan tanda setuju dengan 27 berkecuali sementara dua Aduntidak hadir.

"Yang setuju angkat tangan, " kata beliau pada hari terakhir Persidangan Keempat DUN yang ke-14, hari ini.

Dua Aduniaitu Datuk Osman Sapian (Bersatu-Kempas) dan Hahasrin Hashim (BN-Panti) tidak hadir kerana masalah kesihatan, manakala 54 Aduntermasuk bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu-Gambir) hadir.

Terdahulu, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad dalam sesi penggulungan Belanjawan Johor 2022 berkata kerajaan negeri akan memperhebat usaha menjadikan Johor sebagai negeri pilihan pelabur memandangkan kedudukannya yang strategik dan memiliki pelbagai agensi pemangkin ekonomi.

"Saya yakin dan percaya bahawa Johor akan menjadi antara negeri yang terawal bangkit daripada kemelut ekonomi yang terjejas akibat Covid-19," kata beliau.

Persidangan DUN hari ini berakhir kira-kira pukul 5 petang tadi.

Untuk rekod, kerajaan negeri dipimpin Umno Johor dengan 14 kerusi DUN, MIC memiliki dua kerusi, Bersatu 12 kerusi dan PAS satu kerusi manakala Pakatan Harapan 27 kerusi.

Hasni ketika membentangkan belanjawan defisit itu yang bertemakan “Memperhebat Kesejahteraan Johor” pada 18 Nov lepas berkata hasil negeri pada tahun depan diunjurkan berjumlah RM1.671 bilion manakala perbelanjaan berjumlah RM1.958 bilion.

Selain itu, kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk daripada pembangkang akan menerima peruntukan tetap RM200,000 setahun.

- Bernama

Lihat Komen
ADS