mk-logo
Berita
DUN Johor tolak rundingan cadangan libat wakil pembangkang dalam JTPD
Diterbitkan:  Nov 28, 2021 9:02 PM
Dikemaskini: 2:03 PM

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor hari ini menolak rundingan mengenai cadangan penglibatan wakil rakyat pembangkang sebagai ahli Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah (JTPD).

Speaker DUN Johor Suhaizan Kaiat memaklumkan seramai 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tidak bersetuju manakala 27 Adun bersetuju setelah undian secara rahsia dijalankan selama dua minit.

Terdahulu, Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata kerajaan negeri telah mendapatkan penjelasan Kerajaan Persekutuan dan berdasarkan maklum balas daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, kedudukan Adun dalam JTPD adalah merujuk kepada Adun di pihak kerajaan.

Beliau berkata sejak persidangan DUN lepas, cadangan penglibatan wakil rakyat pembangkang dalam JTPD telah dibangkitkan dan susulan itu, pihaknya mengambil inisiatif mendapatkan penjelasan Kerajaan Persekutuan sepertimana Arahan No.1 (2020) daripada ICU Jabatan Perdana Menteri.

"Maklum balas daripada ICU Jabatan Perdana Menteri melalui surat bertarikh 18 Nov 2021 menyatakan bahawa buat masa ini, kedudukan Ahli Parlimen dan Adun dalam Majlis Tindakan Pembangunan Negeri dan JTPD seperti arahan No.1 2020.

"Menerusi arahan itu, dalam Mekanisme Penyelarasan Pelaksanaan Pembangunan Negara adalah merujuk kepada Ahli Parlimen dan Adun yang sama parti dengan kerajaan," katanya dalam ucapan penggulungan Belanjawan Johor 2022 pada hari terakhir Persidangan Keempat DUN Johor ke-14 di Iskandar Puteri hari ini.

Bagaimanapun, Hasni berkata atas semangat sebagai rakan strategik, kerajaan negeri berbesar hati menjemput semua Adun Pakatan Harapan dalam mesyuarat JTPD sebagai pemerhati yang membawa maksud bahawa mereka akan dijemput hadir pada setiap kali mesyuarat JTPD.

"Adun pembangkang juga boleh kemuka cadangan secara bertulis kepada pengerusi JTPD bagi daerah masing-masing. Malangnya, perbahasan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat sebelah sana tidak bersetuju sekiranya dijemput sebagai pemerhati malah mempersenda pemerhati sebagai pelawat.

"Oleh itu, kerajaan negeri tiada pilihan lain dan akan mengguna pakai Arahan No. 1 (2020) sepenuhnya," katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan 2022 negeri pada 18 Nov lepas, beliau berkata kesemua 56 Adun termasuk pembangkang akan menerima peruntukan tetap RM200,000 setahun.

Katanya kerajaan negeri juga bersetuju menjemput Adun pembangkang menyertai mesyuarat JTPD sebagai pemerhati.

- Bernama

Lihat Komen
ADS