Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR mahu PH bincang guna semula lambang PKR
Diterbitkan:  Nov 28, 2021 9:12 PM
Dikemaskini: 1:13 PM

PKR mahu penggunaan logo partinya oleh rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) dipertimbangkan ekoran prestasi tidak memberangsangkan gabungan itu dalam pilihan raya negeri Melaka.

Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Majlis Pimpinan Pusat PKR hari ini berbincang tentang kesukaran yang dihadapi di bawah peraturan kempen yang ketat pada PRN Melaka, untuk memperkenalkan calon-calon baru dan lambang PH yang berbeza berbanding ketikan pilihan raya umum (PRU) lalu.

“Namun oleh kerana PKR memahami sikap sahabat-sahabat di dalam PH pada ketika itu, maka kami membuat keputusan bersetuju dengan penggunaan logo tersebut.

“Namun, ke hadapan, PKR berpandangan bahawa wujud kewajaran logo PKR digunakan semula.

“Perkara ini akan dibincang dengan lebih lanjut pada mesyuarat PH yang akan datang,” katanya pada satu kenyataan.

Pada PRU 2018, PH menggunakan lambang PKR di Semenanjung Malaysia memandangkan PH tidak dapat didaftarkan pada masa itu.

Bagaimanapun, setelah berdaftar secara rasmi selepas PRU2018, ia telah menggunakan lambang PH dalam pilihan raya kecil selepas daripada itu dan di PRN Melaka.

Ini berbeza di Malaysia Timur, apabila parti-parti PH sentiasa menggunakan lambang parti sendiri.

PKR memang menggesa semua parti PH untuk menggunakan lambang partinya, tetapi DAP dan Amanah tetap bertegas agar ahli gabungan kekal memakai lambang PH.

Bagaimanapun, selepas PRN Melaka, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke mencadangkan agar parti-parti PH boleh kembali menggunakan lambang masing-masing, seperti pada tahun PRU 2008 dan 2013.

BN mengaut majoriti dua pertiga pada PRN Melaka 20 Nov lalu, apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi sementara Perikatan Nasional (PN) hanya meraih dua kerusi.

DAP dan Amanah hanya dapat mempertahankan separuh daripada kerusi disandang mereka - DAP memenangi empat daripada lapan kerusi manakala Amanah memenangi satu daripada dua kerusi.

PKR yang sebelum ini menyandang tiga kerusi, kalah kesemuanya.

Kempen fizikal adalah dilarang sama sekali atas faktor wabak Covid-19.

Lihat Komen
ADS