Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sejak dijatuhi hukuman bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap kesemua tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (hasil wang rakyat) pada 27 Julai 2020, Penasihat BN Najib Razak tidak lekang "meratib" nama Muhyiddin Yassin hingga ke hari ini.

Tokoh banduan yang dianggap "kayangan" kerana masih dibenarkan merayau bebas sana sini ketika sedang dalam proses rayuan itu berhadapan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. Bukan itu saja, rakyat tidak lupa bahawa wakil rakyat Pekan itu juga sedang dituntut pembayaran tunggakan cukai RM1.69 bilion dan anaknya pula RM37.6 juta oleh LHDN melalui mahkamah.

Najib boleh berikan 1,001 alasan di media sosial kononnya beliau dianiaya namun hakikatnya sebagai perdana menteri keenam Malaysia ketika skandal antarabangsa melibatkan wang negara itu kecoh seluruh dunia, Najib adalah watak paling berkuasa untuk menghalang campur tangan broker seperti Jho Low dalam urusan bisnes pelaburan syarikat proksi kerajaan seperti 1MDB.

Namun apa yang Najib buat selain memecat Muhyiddin daripada jawatan timbalan perdana menteri dan seterusnya daripada Umno hanya kerana orang nombor dua kerajaan itu mempersoal asal kemasukan sejumlah besar dana (RM14.5 juta) ke akaun peribadi Najib melalui AmBank. Mungkin bermula daripada situ Najib cukup fobia dengan nama Muhyiddin lebih-lebih lagi apabila Abah makin mendapat kepercayaan rakyat.

Apa pula kaitan semua fakta sejarah di atas dengan situasi semasa ekonomi negara? Ya betul banyak negara sedang merangkak memulihkan ekonomi mereka setelah dihentam teruk oleh wabak Covid-19 daripada awal tahun lepas hingga ke hari ini. Tetapi bezanya Malaysia terpaksa menanggung kerugian berganda apabila dalam waktu yang sama terpaksa membayar hutang 1MDB sebanyak RM41.36 bilion.

Bukan itu saja, kerajaan Perikatan Nasional (PN) bawah kepimpinan perdana menteri kelapan turut mewarisi jumlah keseluruhan hutang negara lebih dari RM1 trilion yang terhasil sejak kerajaan BN dahulu. Ini fakta yang pernah diumumkan oleh menteri kewangan, Senator Tengku Zafrul Abdul Aziz, April tahun ini. Maka sudah pasti ia turut memberi kesan terhadap pemulihan negara serta kesejahteraan rakyat marhaen.

Meratib nama dan cuba menyalahkan langkah-langkah mengekang penularan Covid-19 seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terpaksa diambil kerajaan pimpinan Muhyiddin lalu adalah sikap terdesak pihak yang pernah saya label sebagai "binatang politik" kerana menangguk di air keruh ketika negara terlibat dalam "perang global" menentang virus maut tersebut.

Malah sikap munafik Najib makin terserlah apabila beliau sendiri pernah secara terbuka mencadangkan kerajaan PN melaksanakan PKP atau lockdown paling ketat seperti yang pernah dibuat ketika awal tahun 2020. Kesan besar langkah itu walaupun positif untuk mengawal penularan Covid-19 namun ia memberi impak drastik terhadap ekonomi rakyat. Oleh kerana itu ia tidak diulangi lagi agar wujud keseimbangan antara ekonomi dan kesihatan rakyat.

Najib bukan bodoh atau mudah lupa walaupun dirinya seringkali memberi jawapan tidak tahu ketika disoal dalam mahkamah. Agak mustahil seorang anak negarawan yang belajar tinggi di luar negara dan ada pengalaman pegang jawatan MB Pahang paling muda dalam sejarah negara boleh tertipu oleh tauke scammer seperti Jho Low yang bergambar dengannya sekeluarga atas kapal mewah?

Kesimpulannya pemulihan ekonomi negara di zaman wabak Covid-19 ini mungkin lebih baik jika pentadbiran Muhyiddin yang sering melunaskan bantuan demi bantuan tidak diganggu dan jika negara tidak terbeban dengan hutang serta liabiliti tambahan akibat bisnes "menyamun" wang negara oleh skandal 1MDB melibatkan penasihat emeritus SRC yang juga menteri kewangan serta perdana menteri ketika itu.


DR MUHAMMAD FAIZ NA'AMAN ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS