Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M jawab Najib: Tanah di Langkawi itu saya bayar, bukan ‘free’
Diterbitkan:  Nov 30, 2021 1:43 PM
Dikemaskini: 7:41 AM

  • Dikemas kini dengan laporan penuh.

Bekas perdana menteri Mahathir Mohamad mengakui dia memajak dan membeli tanah di Langkawi seperti dibangkitkan oleh musuh politiknya Najib Razak.

Bagaimanapun, kata Mahathir, dia membayar pajakan itu.

“Pajak kena bayar. Tak dapat free pun,” katanya.

Malah, katanya, oleh kerana kos pajakan dinaikkan berkali ganda, dia menyerahkannya balik kepada Lembaga Pembangunan Langkawi.

Najib sebelum ini membangkitkan isu pajakan itu setelah Mahathir menyerangnya dalam isu permohonan tanah kerajaan dianggarkan bernilai RM100 juta.

Dia membangkitkan dakwaan tawaran pajakan tanah seluas 34 ekar di Langkawi semasa anak Mahathir, Mukhriz menjadi menteri besar Kedah.

"Nampaknya ada orang yang berbuih mulut tuduh saya dapat macam-macam daripada kerajaan selepas bersara dari jawatan perdana menteri.

"Agaknya orang ini cuba nak alih pandangan dari masalah dia “tolak” permintaan dia sendiri untuk dapat hartanah mewah dari Kerajaan. Ada orang beritahu saya mewah tahap kayangan.

"Kalau ada salah laku, siasatlah. Macam-macam tuduhan yang dibuat tentang “salah laku” saya. Kalau benar dakwa lah. Kalau bersalah hukumlah," katanya.

Sebelum ini Mahathir yang juga ahli Parlimen Langkawi membangkitkan isu permohonan hartanah bernilai RM100 juta itu di parlimen.

Najib kemudian menarik balik hasrat memohon hartanah daripada kerajaan dengan mengambil kira keadaan ekonomi rakyat yang berdepan situasi sukar akibat Covid-19.


Lihat Komen
ADS