mk-logo
Berita
Syed Saddiq, Maszlee pertikai tiada peruntukan untuk kawasan mereka
Diterbitkan:  Nov 30, 2021 3:31 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Dua ahli parlimen pembangkang menyatakan kekecewaan kerana tidak mendapat peruntukan bagi kawasan mereka meskipun ahli parlimen Pakatan Harapan (PH) telah menerima peruntukan masing-masing.

Syed Saddiq Abdul Rahman (Bebas - Muar) berkata, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mastura Mohd Yazid mengelirukan Dewan Rakyat apabila mengatakan semua ahli parlimen pembangkang akan menerima peruntukan secara adil dengan ahli parlimen kerajaan.

"Mana keadilannya apabila MP kerajaan boleh dapat RM3.8 hingga RM5 juta, MP PH pun diberikan peruntukan RM3.8 juta, tapi untuk Muar, kosong RM.

"Kalau kita mahu cetuskan budaya politik yang baru, jangan kita diskriminasi ikut sokongan politik," kata Syed Saddiq di Dewan Rakyat hari ii.

Syed Saddiq berkata dia telah menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun mengenai kenyataan yang didakwa mengelirukan itu tetapi ditolak atas alasan peruntukan untuk ahli parlimen pembangkang hanya terhad kepada mereka yang telah menandatangani memorandum persefahaman (MOU) dengan kerajaan.

PH menandatangani perjanjian persefahaman dengan Perdana Menteri Ismail Sabri pada 13 Sept lalu dengan berjanji tidak akan menghalang agenda utama kerajaan sebagai timbal balik terhadap sejumlah pembaharuan.

Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata ahli-ahli parlimen yang bukan dari PH tidak diberi peluang untuk menandatangani MOU berkenaan.

Syed Saddiq mengasaskan Muda, yang sehingga kini masih belum diluluskan KDN.

"Dalam kes saya, orang yang ingin menandatangani, tidak diberikan hak untuk menandatangani dan selepas itu, rakyat Muar yang terkesan begitu teruk sekali. So when you are not given a chance (Jadi jika kamu tak diberikan peluang), jangan salahkan MP Muar, jangan salahkan orang Muar apabila peruntukan itu tidak diberikan secara adil.

"Kamu kena datang ke Muar, lihat orang Muar, nelayan-nelayan yang teruk terkesan, orang kampung, bila banjir, atap hilang, kamu kena jawab mereka, kenapa parlimen-parlimen lain jauh lebih penting daripada Muar, kenapa mereka perlu dihukum kerana tidak sokong kerajaan? Ini adalah salah," katanya.

Azalina Othman yang mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat secara ad-hoc, berkata dia memahami kekecewaan Syed Saddiq.

Bagaimanapun, Azalina berkata Syed Saddiq perlu menyampaikan kebimbangannya terus kepada Azhar kerana dia hanya mempengerusikan persidangan itu secara sementara.

Sementara itu, Maszlee Malik (Simpang Renggam-PKR), berkata dia juga tidak menerima peruntukan untuk kawasannya walaupun telah menyertai PH.

Maszlee secara rasmi menyertai PKR pada Sabtu lalu (27 Nov).

"Jikalau kes Muar, beliau bukan PH, tidak terlibat dalam MOU. Tapi kes saya pelik sikit, baru-baru ini telah menyertai PKR, dan juga saya telah berikan kepada Speaker surat menyatakan kedudukan keadaan. Malangnya sehingga detik ini, Simpang Renggam masih tiada peruntukan," katanya.

Maszlee menggesa kerajaan mematuhi MOU untuk memastikan peruntukan diberikan secara secara adil kepada ahli-ahli parlimen.

Lihat Komen
ADS