Presiden Putra Ibrahim Ali mencadangkan PAS menarik sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sekiranya gagal membuat pembayaran royalti minyak terhadap kerajaan Kelantan.

“Jika PAS tarik sokongan, kerajaan tumbang dan pilihan raya umum ke-15 boleh diadakan dengan segera.

“Ini juga yang dihajati oleh BN selepas menang pilihan raya negeri Melaka sebab kepimpinan BN dalam keadaan hilang masa mengenai survival dan ada yang tidak sabar untuk jadi ahli parlimen serta jadi menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 27 Nov, Menteri Besar Kelantan Ahmad Yaakob menuntut Putrajaya menjelaskan status sebenar pembayaran royalti dan wang ihsan yang disalurkan ke negeri itu selepas jawapan diberikan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di parlimen baru-baru ini.

Ahmad berkata negeri itu memandang serius jawapan diberikan menteri terbabit kerana tidak selari dengan kenyataan dibuat kerajaan persekutuan sebelum ini.

Ibrahim berkata kerajaan “Keluarga Malaysia” yang dipimpin Ismail Sabri mempunyai 114 ahli parlimen dengan hanya tiga majoriti undi.

“PAS ada 18 ahli parlimen. Tak adakah cadangan PAS nak tarik sokongan terhadap perdana menteri ‘Keluarga 69’ Malaysia, kalau tidak diberi royalti,” katanya.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 25 Nov lalu Tengku Zafrul berkata kerajaan pusat hanya menyalurkan wang ihsan atas pengeluaran petroleum di perairan berhampiran Kelantan.

Menjawab soalan dikemukakan ahli parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, Tengku Zafrul berkata hal itu kerana medan pengeluaran petroleum terbabit sebenarnya berada luar perairan Kelantan.

Kelantan membuat tuntutan bayaran royalti sejak negeri itu ditadbir oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat. Malah kerajaan negeri pernah membawa kes berkenaan ke mahkamah.

Kes itu bagaimanapun ditarik balik selepas pentadbiran Pakatan Harapan sebelum ini (PH) bersetuju membayar royalti kepada Kelantan. Kelantan bagaimanapun masih beranggapan wang disalurkan bukan royalti, tetapi wang ihsan.