Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Pihak berkuasa kesihatan Britain hari ini mengesahkan sembilan lagi kes varian coronavirus Omicron dikesan di England dan satu di Scotland, menjadikan jumlah keseluruhan 32 kes, lapor Xinhua.

Setakat ini, 22 kes varian Omicron dikenalpasti di England dan 10 di Scotland, kata Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA).

Ketua Eksekutif UKHSA Dr Jenny Harries berkata: "Kemungkinan besar kami akan menemui lebih banyak kes dalam beberapa hari akan datang, seperti yang kita lihat di negara lain di seluruh dunia dan ketika kami meningkatkan pengesanan kes melalui pengesanan kontak terfokus."

"Itulah pentingnya bagi sesiapa yang mempunyai simptom COVID-19 mengasingkan diri dan melakukan ujian PCR dengan segera," kata Harries.

Britain mencatatkan 48,374 kes jangkitan baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes koronavirus di negara itu kepada 10,276,007, menurut angka rasmi yang dikeluarkan pada Rabu.

Negara itu juga melaporkan 171 lagi kematian berkaitan coronavirus. Jumlah kematian berkaitan coronavirus di Britain kini mencecah 145,140 orang. Angka itu hanya melibatkan kematian orang yang meninggal dunia dalam tempoh 28 hari selepas ujian positif pertama mereka.

Terkini, lebih 88 peratus penduduk berusia 12 tahun ke atas di Britain sudah menerima dos pertama vaksin dan lebih 80 peratus menerima dua dos. Lebih 32 peratus menerima suntikan penggalak, atau dos ketiga vaksin coronavirus.

- Bernama

Lihat Komen
ADS