Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib mahu saman terhadap AMMB Holdings, dua lagi didengar sekali lagi

Datuk Seri Najib Tun Razak mahu samannya terhadap AMMB Holdings Berhad, AmBank Islamic Bhd dan bekas pengurus perhubungannya berhubung dakwaan salah urus akaunnya, yang dibatalkan Mahkamah Tinggi kembali didengar mahkamah.

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili bekas perdana menteri itu memberitahu panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini bahawa Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Khadijah Idris membuat penemuan fakta dan kesimpulan yang salah apabila memutuskan bahawa saman itu tidak wajar.

Beliau berkata saman yang difailkan oleh anak guamnya bukanlah ‘serangan kolateral’ untuk mencabar keputusan kes jenayahnya (Najib) berhubung dana SRC International Sdn Bhd, seperti yang diputuskan oleh hakim Mahkamah Tinggi apabila beliau membatalkan saman itu.

Serangan kolateral bermaksud tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan dalam kes lain.

Dalam keputusannya, hakim Mahkamah Tinggi itu memutuskan bahawa saman Najib terhadap tiga defendan terbabit merupakan penyalahgunaan proses mahkamah kerana dibuat sebagai serangan kolateral untuk perbicaraan kes jenayahnya berhubung dana SRC International.

Najib merayu di Mahkamah Rayuan, memohon supaya samannya kembali didengar setelah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi.

Harvinderjit Singh berkata hakim Mahkamah Tinggi khilaf apabila mendapati saman itu disandarkan pada keterangan Joanna Yu Ging Ping dalam perbicaraan SRC yang kononnya dilindungi oleh imuniti mutlak.

Yu merupakan antara saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes penyelewengan RM42 juta dana SRC yang dihadapi Najib melibatkan tujuh pertuduhan.

Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali mensabitkan Najib atas pertuduhan itu dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib selama 15 hari pada April lepas dan menetapkan 8 Dis ini untuk keputusan.

Dalam samannya terhadap AmBank, AMMB Holdings dan Yu, Najib mendakwa AmBank dan Yu melakukan kecuaian ketika mengendalikan akaun banknya dengan mendedahkannya kepada Jho Low.

Najib mendakwa AmBank, AMMB Holdings dan Yu, telah mendedahkan penyata bank, transaksi debit dan pengiriman wang, dan baki dana antara akaunnya kepada Low sebagai pihak ketiga, tanpa kebenaran.

Mahkamah juga mendengar hujah peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Yu, bekas pengurus perhubungan bank yang berkata beliau bukan faktor penyumbang yang menyebabkan Najib didakwa atas tujuh pertuduhan berkaitan SRC.

Beliau berkata bukan keputusan Yu untuk mendakwa Najib tetapi keputusan Peguam Negara ketika itu (Tan Sri Tommy Thomas).

Beliau berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi betul apabila memutuskan bahawa saman itu adalah serangan kolateral kerana ia boleh mengakibatkan percanggahan dan menimbulkan tidak konsisten dalam mencari fakta mengenai isu yang sama.

Prosiding di hadapan Hakim Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim bersambung 24 Jan.

- Bernama

Lihat Komen