Raja Sherina dan suami dibebas dengan jaminan polis
'Raja Sherina' dan suaminya yang ditahan reman berhubung kes penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) membabitkan pelayar solo negara, Datuk Azhar Mansor, dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.
'Raja Sherina' dan suaminya yang ditahan reman berhubung kes penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) membabitkan pelayar solo negara, Datuk Azhar Mansor, dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.
Ketua Polis Perak Datuk Abdul Aziz Bulat berkata kedua-duanya dibebaskan sementara bagi membolehkan pihak pendakwaan memutuskan kewajaran 'Raja Sherina' dan suaminya didakwa mengikut Akta Hasutan 1948.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, Mahkamah Majistret membenarkan permohonan polis supaya kedua-duanya dibebaskan selama sebulan dengan jaminan polis.
Katanya, terdapat dua kemungkinan iaitu sama ada pasangan itu didakwa mengikut akta berkenaan atau dibebaskan tanpa syarat bergantung kepada pihak pendakwaan.
Beliau berharap orang ramai mengambil iktibar daripada kes itu dan tidak menyebarkan SMS bercorak sensitif sehingga mendatangkan rasa kurang senang di kalangan masyarakat.
Enggan jumpa wartawan
"Kejadian ini perlu menjadi pengajaran kepada kita semua supaya bersikap lebih rasional ketika menyebarkan sesuatu SMS," katanya.
Sementara itu 'Raja Sherina' dan suaminya yang berusia dalam lingkungan 40-an dibawa ke Mahkamah Majistret di Ipoh kira-kira jam 1.35 pagi tadi menaiki kenderaan polis dengan tangan suaminya bergari.
Perintah pembebasan mereka dibacakan Pendaftar Mahkamah, Azuratul Akmar Abdul Ghaffar di bilik menunggu di mahkamah berkenaan selepas tempoh reman mereka tamat hari ini.
Bagaimanapun pasangan suami isteri yang ditahan di Alor Star Isnin lalu, enggan bertemu wartawan dan sekadar melambaikan tangan manakala suaminya hanya tersenyum.
Difahamkan 'Raja Sherina' dan suaminya dihantar pulang ke Sungai Petani, Kedah oleh polis petang ini.
'Raja Sherina' dan suaminya ditahan pada jam 9.30 malam di Alor Star, Kedah Isnin lalu ketika berada di hadapan Hospital Alor Setar bersama-sama anak lelaki mereka berumur tiga tahun, selepas lebih seminggu dijejaki polis.

