mk-logo
Berita
Inspektor direman tiga hari cederakan, maki hamun anggota polis
Diterbitkan:  Dec 5, 2021 2:15 PM
Dikemaskini: 2:15 PM

Seorang pegawai polis berpangkat inspektor yang ditahan kerana memaki hamun dan mencederakan anggota polis awal pagi semalam di Lebuh Queen, di George Town direman tiga hari bagi membantu siasatan kes itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata berdasarkan siasatan lelaki berusia 35 tahun yang bertugas di negeri Perak itu sedang menjalani hukuman tahan kerja atas kesalahan tatatertib.

"Dalam kejadian 1.30 pagi itu, polis menerima panggilan memaklumkan seorang lelaki sedang membuat bising disyaki berada di bawah pengaruh alkohol dan kami terus ke lokasi, semasa proses memujuk suspek untuk berhenti membuat bising dia telah mengeluarkan kata-kata kesat kepada anggota polis.

"Malah lelaki itu juga enggan memberi kerjasama dan polis telah meminta suspek untuk pergi ke balai polis namun dia bertindak agresif serta melawan pihak polis mengakibatkan (suspek) cedera di bahagian siku kedua-dua tangannya," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Katanya pegawai polis itu kini direman selama tiga hari dan ditahan di Klinik Pakar Psikiatrik Jalan Perak untuk rawatan lanjut sementara polis menjalankan siasatan ke atas kes itu.

Menurutnya kes itu disiasat menurut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan tugas.

- Bernama

Lihat Komen
ADS