Peluang untuk pelajar bumiputera melanjutkan pengajian mereka setelah gagal melanjutkan pengajian di universiti tetap ada walaupun kerajaan tidak berhasrat untuk menubuhkan semula Institut Teknologi Mara (ITM).

Menteri Pengajiuan Tinggi, Datuk Mustapha Mohamed berkata, peluang kedua akan terus diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan mengambil sebahagian kecil pelajar peringkat pra-diploma.

"Selain itu dengan kewujudan banyak kolej komuniti, politeknik dan institusi pengajian yang lain, peluang kedua pelajar yang gagal memasuki universiti tetap ada," katanya ketika menjawab soalan tambahan Raja Ahmad Zainudin Raja Omar (BN-Larut) pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat.

Ketika bercakap kepada media di lobi Parlimen selepas sesi soal jawab itu, Mustapha berkata, kerajaan tidak berhasrat menubuhkan semula ITM pada masa akan datang kerana peranannya masih sama walaupun telah melalui proses penjenamaan semula menjadi UiTM.

Menurut laporan Bernama, Mustapa berkata, selepas penjenamaan semula ITM kepada UiTM, kemasukan bilangan pelajar juga telah meningkat sebanyak tiga kali ganda terutama bagi pelajar di peringkat diploma.

"Walaupun tukar nama tetapi UiTM masih lagi memberi fokus kepada pengkhususan di peringkat diploma, sekarang ini 40 peratus ijazah dan 60 peratus diploma," jelasnya.

Beliau berkata setakat ini terdapat kira-kira 90,000 bilangan pelajar peringkat diploma di semua cawangan UiTM di seluruh negara, menjadikan universiti itu sebagai universiti terbesar di Malaysia dan antara yang terbesar di dunia.

ITM telah dijenamakan semula pada 1999 menjadi UiTM, selepas proses penjenamaan semula itu UiTM telah menawarkan kursus peringkat ijazah dan doktor falsafah (Phd), yang hanya ditawarkan di kampus induk di Shah Alam, Selangor.

Mustapa berkata, semua kampus cawangan UiTM di seluruh negara mempunyai lebih 80 peratus pelajar peringkat diploma dan hanya kursus tertentu sahaja di kampus cawangan yang menawarkan pengajian peringkat ijazah.

Katanya, pada 2030 kerajaan berhasrat untuk menambah bilangan pelajar dalam bidang Sains dan Teknologi daripada 44 peratus kepada 60 peratus.

Sains dan Teknologi merupakan salah satu daripada tiga bidang pengkhususan utama di UiTM, dua bidang lagi ialah Sains Sosial dan Kemanusiaan dan Pengurusan dan Perniagaan.