Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata prosedur dan undang-undang lama termasuk yang digubal oleh penjajah, perlu dikaji semula dan dipinda, jika didapati menghalang kejayaan pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

"Sudah tiba masanya undang-undang ini dikaji semula sekiranya ia menyekat rancangan ini daripada dilaksanakan dengan cepat dan tepat," katanya.

Katanya, kerajaan amat serius dalam melaksanakan RMK9, bukan sekadar menabur janji kosong kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata ada pihak melahirkan rasa sangsi mengenai kejayaan RMK-9 dengan menyatakan kononnya Malaysia hanya pandai membuat rancangan tetapi tidak daripada segi pelaksanaan.

"Ini merujuk kepada saya selaku pemimpin," katanya ketika menyampaikan hadiah kepada pemenang Cabaran Pelaburan Dunia anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Port Dickson.

Abdullah berkata rakyat mungkin tidak sabar tetapi mereka perlu faham bahawa RMK-9 baru dibentangkan pada 31 Mac dan diluluskan oleh Parlimen pada Mei.

Menurut laporan Bernama, Abdullah berkata, bagi pihak kerajaan, langkah telah diambil untuk meningkatkan sistem penyampaian awam dengan mengurangkan karenah birokrasi selain bertindak membanteras rasuah.

Abdullah berkata beliau telah mengarahkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) supaya berhati-hati dalam siasatannya supaya tidak melakukan kesilapan dengan mengheret orang ke mahkamah semata-mata untuk menunjukkan ia menjalankan tugasnya.

"Jika kita tidak dapat mensabitkan kesalahan, reputasi orang berkenaan akan terjejas, kehidupannya menjadi porak peranda dan syarikatnya akan gagal, kerana orang akan memandang serong terhadapnya," katanya.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, jika tindakan tidak diambil, ada pihak akan menuduh ini disebabkan oleh pelindungan kerajaan, ataupun seseorang telah memberitahu mahkamah supaya tidak mendakwanya dan ada yang meminta hakim tidak mensabitkan kesalahannya.

"Jika disabitkan kesalahan (pula, ada yang mungkin mendakwa), ini disebabkan orang tak suka dia, (ataupun) dia bukan kawan Perdana Menteri," katanya.

Abdullah, juga bercakap mengenai Pameran Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA 2006) di Serdang yang berakhir semalam, dan berkata beliau berpuas hati pameran itu berjaya membuktikan penduduk luar bandar mempunyai keupayaan mengeluarkan dan memasarkan hasil industri kecil.

"Mereka dengan bangga menunjukkan produk mereka. Mereka ini bukannya pemalas. Orang Melayu bukan pemalas tetapi yang penting ialah ianya perlu dibuat dengan betul," katanya.