Umno bahagian Marang telah membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengenai kewujudan 'pengundi hantu' dalam salah satu kawasan Dewan Undangan Negeri yang diwakili oleh PAS di daerah itu.

Laporan tersebut dibuat oleh ahli Parlimen Marang, Datuk Abdul Rahman Bakar di pejabat SPR Terengganu di Kuala Terengganu pada 6 November lalu.

"Aduan rasmi itu dibuat setelah kami menjumpai 541 'pengundi hantu' didaftarkan di kawasan DUN Rhu Rendang," katanya kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Rhu Rendang merupakan satu daripada empat kerusi DUN dalam parlimen Marang. Ketika ini kawasan tersebut diwakili oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pada hujung September lalu, Abdul Rahman yuang juga Ketua Umno bahagian Marang mendedahkan terdapat 310 'pengundi hantu' didaftar di kawasan tersebut.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia turut mendakwa para 'pengundi hantu' itu didaftarkan oleh PAS.

Bagaimanapun hari ini menurut Abdul Rahman jumlah 'pengundi hantu' itu telah bertambah kepada 541 orang dan beliau menuduh PAS mendaftar lebih ramai orang luar di kawasan tersebut.

Abdul Rahman berkata, 'pengundu hantu' ini tidak menetap di Marang, tidak berkerja di kawasan itu dan tidak berkahwin dengan orang tempatan.

Beliau turut menunjukkan kepada para wartawan senarai yang didakwanya 'pengundi hantu' yang menurutnya menetap di Petaling Jaya, Klang, Shah Alam atau Perak.

"Umno bahagian Marang telah memantau senarai daftar pengundi di kawasan ini sejak Jun lalu," katanya.

Abdul Rahman mendakwa, 'taktik kotor' dengan mengimport pengundi luar ini telah diamalkan oleh Abdul Hadi sejak beliau memenangi kerusi tersebut pada 1986.

Katanya, perkara ini telah dibawa ke mesyuarat badan perhubungan Umno negeri dan Majlis Tertinggi Umno.

Beliau yang menyesali gejala 'pengundi hantu' ini turut menggesa SPR bertindak segera.