Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang
story images
story images
mk-logo
Berita
Pembangunan belia antara fokus Dayang Noorazah

PRN SARAWAK | Aspek pembangunan belia merupakan antara fokus utama calon termuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dayang Noorazah Awang Sohor untuk membawa penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga keluar daripada belenggu masalah kewangan akibat pandemik COVID-19.

Sejak virus berbahaya itu melanda negara dua tahun lepas, sebilangan besar penduduk di kawasan tersebut hilang punca pendapatan dan ramai golongan belia masih tidak berpeluang meneruskan pelajaran akibat kekangan kewangan.

Justeru, Dayang Noorazah, 33, melihat perlunya ada pembangunan berkonsepkan kesan limpahan di Lingga seperti mewujudkan kolej komuniti ataupun universiti di kawasan itu.

Konsep pembangunan seperti ini secara tidak langsung akan mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang mampan selain memberi peluang kepada golongan belia melanjutkan pengajian.

“Bayangkan, anak-anak muda di bawah usia 18 tahun jumpa saya mintak kerja sebab mereka nak bantu keluarga. Terkejut saya dengar... mungkin ramai yang tidak tahu apa yang dihadapi oleh penduduk setempat.

“Tetapi semenjak kehadiran COVID-19, kita dapat lihat perubahan drastik khususnya di DUN Lingga, ramai yang tiada kerja, kuasa membeli pun kurang, mungkin orang luar hanya tengok pada pembangunan infrastruktur tetapi mereka tidak tahu masalah dalaman yang ada,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau yang pertama kali dicalonkan bertanding di kerusi itu percaya usaha sedemikian dapat membantu penduduk setempat dan golongan belia.

Graduan Sarjana Muda Perakaunan dan Perdagangan dari Univerisiti Teknologi Swinburne, Sarawak itu juga mempunyai beberapa perancangan dalam mewujudkan kawasan bagi aktiviti rekreasi di daerah tersebut.

Pada PRN Sarawak ke-12, DUN Lingga akan menyaksikan pertandingan enam penjuru antara Dayang Noorazah, Abang Abdul Kassim Abang Bujang daripada PKR, Datuk Wan Abdillah Edruce Abdul Rahman daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB), Baha Imam daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK), Abang Mohd Sepian Abang Daud daripada Parti Sedar Sarawak (SEDAR) dan calon Bebas Mohd Sepian Abang Daud.

Sebelum ini, kerusi itu disandang oleh Datuk Simoi Peri daripada Barisan Nasional-Parti Pesaka Bumiputera Bersatu selama tiga penggal sejak 2006.

Sementara itu, seorang peniaga kuih-muih di medan selera Pasar Pekan Lingga, Gelang Kadir, 45, berkata sebagai pengundi, dia amat berharap calon baharu GPS tersebut mempunyai visi untuk membantu mengubah landskap kawasan tersebut dan kehidupan penduduk.

"Kami tidak kisah penyandang atau calon baharu yang bertanding pada PRN12 kali ini, yang penting ialah suara pengundi perlu diberi perhatian.

"Perlu turun padang, jangan biar kawasan Lingga ini terus ketinggalan. Sebagai contoh, kami di medan selera ini sering berdepan masalah kawasan gerai dinaiki air apabila berlaku air pasang besar, sudah banyak kerugian yang dialami peniaga tetapi bila disuarakan, tiada sebarang bantuan diterima," katanya.

Statistik terkini Suruhanjaya Pilihan Raya menunjukkan DUN Lingga memiliki sejumlah 9,578 pemilih berdaftar dengan 783 orang atau 8.17 peratus berumur lingkungan 21 hingga 29 tahun manakala 1,863 orang atau 19.45 peratus berusia antara 30 hingga 39 tahun.

Lingga merupakan kampung di pedalaman dalam bahagian Sri Aman dengan majoriti penduduknya terdiri daripada masyarakat Islam dan lebih 50 peratus adalah etnik Iban.

- Bernama

Lihat Komen