Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada pilihan raya kerajaan tempatan, kata menteri Umno
Diterbitkan:  Dec 9, 2021 11:08 AM
Dikemaskini: 4:13 AM

Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan (PRKT) kerana kos yang besar selain ia bukan jaminan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat

Dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican Naina Merican berkata kos PRKT dianggarkan menelan belanja sehingga RM302 juta.

"Cadangan untuk mengadakan semula pilihan raya bagi memilih Ahli Majlis PBT merupakan antara perkara yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH). Bagaimanapun, Jemaah Menteri pada 17 Julai 2020 telah bersetuju supaya cadangan ini tidak diteruskan.

"Kerajaan hari ini tidak bercadang untuk melaksanakan PRKT. Ini kerana, sistem pelantikan Ahli Majlis PBT yang sedia ada telah berjalan dengan baik. Perbelanjaan bagi mengadakan PRKT akan melibatkan peruntukan yang besar kerana kos pelaksanaannya sangat tinggi.

"Kos mengadakan PRKT dianggarkan berjumlah RM2 juta bagi setiap PBT dan RM302 juta bagi kesemua 151 PBT di seluruh negara.

"Anggaran kos ini adalah minimum kerana tidak termasuk kos tersembunyi yang perlu ditanggung oleh agensi-agensi lain yang berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengawal keselamatan pilihan raya dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) untuk mengawal keadaan di tempat membuang undi," katanya.

Reezal berkata, sekiranya pilihan raya kerajaan tempatan dilaksanakan setiap dua tahun, tumpuan untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat akan terjejas kerana terlalu banyak masa dan tenaga ditumpukan untuk kempen pilihan raya.

Sehingga kini katanya, PBT masih boleh memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengadakan pilihan raya tempatan.

“Di bawah sistem sekarang, ahli majlis tempatan yang tidak menunjukkan prestasi baik boleh digugurkan atau tidak dilantik semula selepas tamat tempoh mereka,” katanya.

Pelantikan ahli majlis diperkemas

Katanya lagi, latihan turut diberikan kepada ahli majlis tempatan setiap tahun melalui kerjasama institut latihan kementerian dan jabatan kerajaan tempatan.

"Bagi memperkemaskan lagi pelantikan Ahli Majlis, KPKT sedang membangunkan garis panduan pelantikan Ahli Majlis PBT. Antara lain, pelantikan Ahli Majlis perlu memenuhi kriteria tempoh pelantikan, kelayakan akademik atau pengalaman profesional, komposisi masyarakat seperti kaum, jantina, golongan minoriti dan sebagainya," katanya lagi.

Kerajaan katanya menggalakkan kerajaan tempatan menyiarkan secara langsung mesyuarat lembaga penuh mereka bagi membolehkan rakyat bersama-sama mengambil bahagian dalam tadbir urus PBT dan setakat ini, 16 PBT telah berbuat demikian.

Reezal berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) yang bertanya apakah kerajaan mempunyai rancangan untuk mengadakan pilihan raya tempatan dan membina sebuah negara moden yang menjunjung konsep demokrasi dan pemerkasaan rakyat.

Pilihan raya kerajaan tempatan terakhir di Malaysia dilaksanakan pada tahun 1963. Bagaimanapun pilihan raya tempatan pada 1964 dan 1965 telah digantung dengan alasan rasmi yang dinyatakan disebabkan konfrontasi Indonesia dengan Malaysia.

Penggantungan itu kekal selepas parlimen meluluskan Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang hanya memperuntukkan ahli majlis yang dilantik.

Untuk rekod, PH tidak berjanji dalam manifesto pilihan raya 2018 untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan tetapi menyatakan bahawa ia akan "mengukuhkan demokrasi tempatan" dan menjadikan majlis tempatan lebih bertanggungjawab kepada rakyat yang diberikan khidmat.

PH juga berjanji untuk meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi mencerminkan aspirasi ini.

Menteri sebelum ini, Zuraida Kamaruddin pada Mei 2018 mengatakan pilihan raya tempatan boleh diadakan dalam tempoh tiga tahun.

Bagaimanapun rancangan tersebut dibatalkan oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad yang menyuarakan kebimbangan bahawa ia boleh mengakibatkan jurang antara kaum, serta antara penduduk bandar dan luar bandar.

Lihat Komen
ADS