Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bersih: Abang Jo, bekas menteri 'tanpa malu' guna jentera k'jaan untuk kempen
Diterbitkan:  Dec 13, 2021 5:26 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

PRN SARAWAK | Pengerusi GPS Abang Johari Openg perlu berhenti menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri sementara semasa berkempen, kata badan pemantau pilihan raya Bersih.

Gesaan itu turut ditujukan kepada bekas-bekas menteri Sarawak daripada gabungan pemerintah itu yang bertanding dalam PRN kali ini.

"Abang Johari perlu segera hentikan penggunaan kedudukan tersebut untuk berkempen dengan membuat pengumuman projek atau peruntukan, merasmikan acara kerajaan dan menandatangani memorandum kesefahaman (MoU) kerajaan negeri untuk sebarang projek.

"Setiausaha Kerajaan Sarawak juga perlu segera keluarkan arahan kepada kakitangan kerajaan negeri untuk melarang mereka membantu kempen GPS dengan menggunakan jentera dan sumber kerajaan negeri termasuklah penggunaan media cetak dan media sosial milik kerajaan.

"Walaupun dalam undang-undang termasuklah Akta Kesalahan Pilihan Raya masih belum meliputi isu tata cara kerajaan sementara, penggunaan jentera dan sumber kerajaan termasuk pengumuman oleh kerajaan sementara melanggar konvensyen kerajaan sementara seperti Deklarasi Kesatuan Parlimen Antarabangsa, yang menyatakan kerajaan perlu mengambil langkah yang sewajarnya untuk memisahkan peranan parti dan kerajaan.

"Begitu juga dengan Perkara 11 Deklarasi Bangkok yang menyatakan sumber kerajaan yang digunakan untuk mempromosikan kepentingan politik semasa pilihan raya akan menyebabkan proses pilihan raya menjadi tidak adil dan kesahan keputusan pilihan raya boleh dipertikai," kata Bersih dalam kenyataan hari ini.

Bersih berkata pasukan pemantaunya mendapati banyak salah guna jentera dan sumber kerajaan yang dilakukan oleh Abang Johari dan bekas-bekas menteri Sarawak yang lain.

"Mereka tanpa segan dan malu menggunakan jentera kerajaan untuk berkempen, malah kerajaan persekutuan juga masih menjemput ketua menteri sementara untuk menghadiri majlis-majlis kerajaan persekutuan," katanya.

Bersih turut menyenaraikan beberapa contoh, antaranya acara pelancaran Gedong sebagai daerah pada 12 Disember lalu oleh Abang Johari, yang turut menjadi calon bagi kerusi DUN itu.

Bersih juga membangkitkan pengumuman Abang Johari selaku ketua menteri sementara yang kerajaan negeri akan melancarkan syarikat penerbangan sendiri pada 30 November lalu.

"Pengumuman sebegini akan mengikat parti atau gabungan parti politik selepas ini yang akan menjadi kerajaan negeri," katanya.

Begitu juga dengan tindakan penyandang DUN Bukit Begunan Mong Dagang yang menyampaikan geran kerajaan berjumlah RM50,000 di bilik gerakan GPS, yang menurut Bersih sebagai "terang-terangan kesalahan rasuah dan beli undi".

"Jentera kerajaan negeri seperti laman-laman media sosial juga telah digunakan sebagai platform untuk menyalurkan kempen-kempen pilihan raya oleh parti GPS," dakwa Bersih lagi.

Menurut Bersih, penggunaan jnetera dan sumber kerajaan untuk berkempen tidak wajar sama sekali kerana ia menggunakan dana awam untuk kepentingan calon dan parti politik.

"Sepatutnya selepas pembubaran DUN, Setiausaha Kerajaan Negeri perlu mengeluarkan arahan untuk melarang penggunaan sumber dan jentera kerajaan oleh mana-mana parti terutama parti penyandang kerajaan.

"Kami juga menggesa agar SPR untuk bertindak dengan lebih proaktif dan tegas bagi menangani isu salah guna jentera kerajaan serta memastikan kempen berjalan dengan lebih bersih dan adil," kata Bersih lagi.

Lihat Komen
ADS