Ekonomi Melayu-Cina PP tidak seimbang, kata Timbalan KM
Wujud jurang pencapaian ekonomi orang Melayu dengan kaum Cina dalam aspek pegangan ekuiti, pemilikan hartanah, tahap pendapatan, pekerjaan, harta intelek, perdagangan dan perindustrian, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah.
Wujud jurang pencapaian ekonomi orang Melayu dengan kaum Cina dalam aspek pegangan ekuiti, pemilikan hartanah, tahap pendapatan, pekerjaan, harta intelek, perdagangan dan perindustrian, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah.
Beliau menegaskan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Mohd Hamdan Abdul Rahman (PAS-Permatang Pasir), Datuk Jasmin Mohamed (BN-Sungai Dua) dan Mohd Foad Mat Isa (BN-Sungai Acheh) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.
Abdul Rashid berkata, pencapaian ekonomi yang tidak seimbang, terutama dengan kaum Cina, menjadi antara punca orang Melayu di Pulau Pinang memohon pembelaan daripada kerajaan negeri.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, isu Melayu terpinggir dibangkitkan sebagai harapan masyarakat itu kepada kerajaan negeri untuk lebih fokus dalam usaha membantu mereka.
Abdul Rashid berkata, tahap pencapaian Bumiputera dalam bidang-bidang baru seperti teknologi maklumat dan komunikasi juga dilihat masih terlalu perlahan.
"Isu Melayu terpinggir bukanlah satu isu yang baru dan bukanlah terhad kepada negeri Pulau Pinang sahaja. Isu ini diketengahkan sebagai satu laungan yang merasakan diri orang Melayu tertinggal dan memerlukan perhatian dan tindakan yang lebih dari kerajaan negeri," katanya.
Langkah segera
Menurutnya lagi, ukuran yang digunapakai untuk menentukan prestasi kemajuan orang Melayu ialah sekurang-kurangnya minimum 30 peratus penyertaan Bumiputera dalam semua sektor ekonomi seperti pegangan ekuiti, pemilikan hartanah, tahap pendapatan, pekerjaan, perdagangan, perindustrian dan pelancongan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri akan terus berusaha mengatasi masalah orang Melayu menerusi langkah antaranya meningkatkan taraf ekonomi bagi membolehkan mereka berdaya maju dan berdaya saing, penyediaan tempat tinggal lebih teratur dan terancang melalui program perumahan mampu beli dan mampu sewa, peluang pekerjaan, peluang kontrak dan projek serta pembangunan sumber manusia.
Sebagai langkah segera bagi menyelesaikan isu itu, beliau berkata, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Khas Pembangunan Tanah Kerajaan dan Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan Tanjung.
Katanya, Jawatankuasa Induk Pembasmian Kemiskinan Negeri Pulau Pinang, yang dipengerusikannya, akan terus berusaha membantu meningkatkan taraf hidup orang Melayu di negeri itu, termasuk di kawasan bandar.
Pada masa yang sama, katanya, kerajaan persekutuan dengan penyertaan syarikat berkaitan kerajaan merancang membantu menjanakan pembangunan negeri, di samping projek-projek menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta.

