Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP fail usul tergempar, dakwa KP SPRM miliki hampir dua juta saham
Diterbitkan:  Dec 14, 2021 4:19 PM
Dikemaskini: 9:12 AM

PARLIMEN | Sivarasa Rasiah (PH-Sungai Buloh) memfailkan usul tergempar di Dewan Rakyat hari ini.

Dia memohon parlimen membincangkan dakwaan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memiliki saham di dua buah syarikat disenarai di bursa melebihi daripada jumlah yang dibenarkan.

Dakwanya, dia dimaklumkan bahawa Azam, antara 2015 dan 2016 sebagai pengarah siasatan SPRM, memiliki 930,000 saham dalam sebuah syarikat pada 30 April 2015, dan 1,029,000 saham lagi pada 31 Mac 2016.

Sivarasa juga mendakwa Azam, pada 21 Mac 2016, memiliki 2,156,000 waran dalam sebuah syarikat senarai awam.

Sivarasa memetik Seksyen 23 Pekeliling Perkhidmatan 3/2002 yang menyebut seseorang pegawai awam boleh membeli saham tetapi tertakluk kepada syarat-syarat, antaranya tidak melebihi lima peratus daripada modal dibayar atau RM100,000 pada nilai semasa.

“Seksyen 10 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam ( Kelakuan dan Tatatertib ) 1993 juga mewajibkan pegawai awam mengisytiharkan semua harta mereka kepada Ketua Jabatan mereka,” kata Sivarasa.

Mengambil kira keadaan tersebut, ahli parlimen PKR itu berkata terdapat persoalan berbangkit yang mesti dijawab di parlimen, sesuai dengan fungsi pengawasannya.

Antaranya, kata Sivarasa persoalan mengenai sumber dana dan pengisytiharan aset kepada pihak atasan.

MP Sungai Buloh itu juga meminta pihak berkuasa menyiasat kesahihan dakwaan pemilikan saham berkenaan.

Malaysiakini telah menghubungi Azam bagi mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan ini.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS