Dua penulis laporan kajian kontroversi Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) mengenai pengagihan ekuiti bumiputera, hari ini menggesa kerajaan supaya mewujudkan segera panel bebas pakar bagi menyemak semula semua metodologi yang digunakan untuk pengiraannya.

Panel tersebut perlu mengkaji kiraan yang digunakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) serta yang digunakan oleh agensi-agensi kerajaan, kata Dr Lim Teck Ghee dan Edmund Terence Gomez dalam satu kenyataan.

"[Panel tersebut] mesti menilai sumber-sumber data yang digunakan dalam pengiraan mengenai pemilikan ekuiti korporat," tambah mereka.

"Panel tersebut mesti membuat syor komprehensif mengenai pengubahsuaian metodologi yang diperlukan, dengan mengambilkira standard dan amalan profesional perakaunan dan statistik," katanya.

Dua ahli akademik tersebut berkata, garis rujukan panel tersebut hendak cukup luas untuk membolehkannya mendapat pandangan profesional serta badan-badan yang sesuai bagi mewujudkan standard baru ukuran.

"Supaya berwibawa, panel ini mesti turut dianggotai para akauntan, pakar ekonomi, ahli akademik, penganalisa korporat dan pakar statistik.

"Ia juga perlu dianggotai wakil-wakil sektor awam dan swasta dan urusannya mesti telus kepada pihak awam," kata mereka.

Percanggahan angka

Lim dan Terence berkata, panel tersebut mesti diminta menyiapkan segera semakannya supaya syornya dapat dimasukkan dalam semakan separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).

Kajian Asli mengenai pengagihan ekuiti negara, dibuat oleh Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS), yang diketuai oleh Dr Lim yang merumuskan pemilikan ekuiti bumiputera sudah mencecah 45 peratus telah mencetuskan perdebatan yang hangat dan ketegasan kerajaan bahawa ekuiti bumiputera adalah 18.9 peratus.

Ekoran kecaman hebat dari pihak kerajaan, Asli telah menarik balik hasil kajian itu, dan ekoran itu, Dr Lim bertindak meletakkan jawatan sebagai pengarah CPPS.

Namun begitu, ramai pihak yang menggesa kerajaan supaya mendedahkan metodologi yang digunakan oleh EPU untuk mengira pemilikan ekuiti bumiputera.

Hari ini, Lim dan Terence turut menyediakan maklumat tambahan daripada kajian tersebut yang mereka harap dapat membantu kerajaan menjelaskan mengenai isu-isu yang dibangkitkan. Berita asal