Mufti Negeri Sembilan satu-satunya negeri yang menyediakan peruntukan Syariah untuk proses mahkamah bagi memohon keluar dari Islam mahu dirangka undang-undang pencegahan dan hukuman yang lebih ketat bagi mencegah kes murtad.

Datuk Mohd Murtadza Ahmad berkata, pakar-pakar Islam dalam pelbagai bidang termasuk pakar perundangan perlu merangka satu mekanisme yang berkesan bagi menangani pelbagai aspek isu murtad.

"Satu undang-undang pencegahan dan hukuman berkaitan murtad perlu dirangka. Ia perlu mengambil kira aspek hukum yang berkaitan peruntukan (Syariah) seperti masalah harta benda, pewarisan dan rumah tangga," kata Murtadza.

Katanya, aspek-aspek lain yang perlu diberi pertimbangan termasuk peruntukan Syariah mengenai perkahwinan, sara hidup, mas kahwin, jagaan dan harta bersama.

Beliau berkata, murtade boleh meruntuhkan institusi keluarga dan masyarakat Islam dan menurutnya, "kegagalan kita untuk mempertahankan dua institusi ini akan membawa kepada keruntuhan Islam dan masyarakat Islam".

Mohd Murtadza menegaskan demikian di Konyensyen 'Kebebasan Beragama dan Isu Murtad: Ke Arah Penyelesaian Yang Praktikal', di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) semalam.

Enakmen Undang-undang Islam Negeri Sembilan 1991 (Pindaan 1995) memperuntukkan umat Islam mengisytiharkan diri keluar dari Islam di mahkamah Syariah atau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam.

Pada 2003, enakmen itu dipinda sekali lagi, dengan melanjutkan tempoh 30 hari untuk kaunseling dan pemulihan (dalam enakmen lama), kepada 90 hari. Tempoh ini boleh dilanjutkan sehingga setahun atas budibicara hakim mahkamah Syariah.

Negeri Sembilan mencatatkan jumlah terbanyak kes mahkamah membenarkan pemohonan keluar dari Islam sebahagian besarnya adalah bukan Islam yang sebelumnya memeluk Islam. Terdapat 16 kes seumpama itu antara tahun 1994 hingga 2003,

Hanya Pahang, Perak, Melaka, Sabah, dan Terengganu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 dan/atau hukuman penjara tidak melebihi dua tahun, bagi kes murtad.

Undang-undang Syariah Pahang memperuntukkan hukuman terberat di mana mereka yang disabitkan kesalahan murtad, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 dan/atau hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun, dan boleh dikena hukuman enam sebatan.

Manakala negeri-negeri lain tidak mempunyai peruntukan yang mengiktiraf murtad dari Islam.

Penggunaan ISA

Ketika ditemui kemudiannya, Mohd Murtadza berkata, undang-undang yang lebih tegas mengenai murtad diperlukan "bagi menangani cabaran yang kita hadapi sekarang".

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada undang-undang Syariah negeri-negeri sekarang mengenai murtad adalah mencukupi dan perlunya undang-undang yang lebih tegas seperti di Pahang, Perak, Melaka, Sabah dan Terengganu.

Manakala pensyarah undang-undang di UIA, Dr Zulkifly Muda pula berpendapat, tanpa hukum hudud, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) boleh digunakan terhadap mereka yang murtad.

Bagaimanapun pandangan beliau tidak dipersetujui oleh para peserta yang lain ketika ditanya pendapat mereka mengenainya.

Seorang lagi pensyarah dari UIA, Shamrahayu Abdul Aziz berkata, memandangkan banyak persoalan yang timbul mengenai ISA dan penggunaannya, maka ia tidak seharusnya digunakan dalam kes murtad.

Malah, tegasnya, ketidaan semakan kehakiman, misalnya, bagi kes tahanan ISA, telah menimbulkan persoalan sama ada ianya mengikut syariah.

Kecuali bagi kes murtad yang boleh mencetuskan rusuhan perkauman atau rusuhan keagamaan atau ancaman kepada keselamatan, maka katanya, ISA tidak harus digunakan untuk menangani masalah tersebut.

Dr Zulfakar Ramlee, salah seorang penganjur konvensyan tersebut, juga tidak bersetuju dengan penggunaan ISA. Soal ISA itu tidak disebut dalam kertas kerja Zulkifly.

Ketika dihubungi Zulfakar berkata, ISA sudah mempunyai kontroversinya tersendiri, dan penggunaan ISA untuk mencegah murtad, akan mencetuskan lebih banyak lagi kontroversi.

Manakala seorang lagi peserta, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Yusri Mohamad pula berkata, ISA hanya boleh digunakan dalam kes-kes yang paling ekstrem di mana ia mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.

Bagaimanapu buat masa ini, katanya, masalah murtad belum mencapai ke tahap yang memerlukan penggunaan ISA. Berita asal