Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syarikat pembekal nafi pengimbas 'berprestasi rendah'

Syarikat pembekal pengimbas sinar-X kargo untuk pemeriksaan Kastam mendakwa “tiada isu pengimbas yang tak mencapai tahap” dalam kontrak perolehan mereka.

Ia susulan laporan Malaysiakini semalam berhubung dua laporan dalaman Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang mengatakan prestasi unit pengimbas terbabit "tidak memuaskan" selepas diuji selama sebulan.

Berdasarkan data masa henti dalam laporan itu, keupayaan untuk mengimbas adalah kira-kira 53 peratus, yang jauh lebih rendah daripada keperluan "95 peratus ketersediaan operasi" yang dinyatakan dalam dokumen tender.

PTS Resources, yang mendapat kontrak membekal 13 pengimbas di Semenanjung Malaysia, berkata masalah diksesan dalam penilaian itu hanyalah “pemerhatian awal yang kini telah diselesaikan seluruhnya”.

“Dakwaan keupayaan operasi 53 peratus, kekerapan masa henti yang tinggi, serta dakwaan penilaian tidak memuaskan adalah pemerhatian awal yang kini telah diselesaikan seluruhnya oleh PTS.

“Dakwaan masalah dengan Pengecaman Kod Kontena (CCR), Kecerdasan Buatan (AI) dan lain-lain, bukanlah masalah tetapi isu yang memerlukan penambahbaikan.

“PTS sentiasa menambah baik sistem berdasarkan situasi sebenar dan keperluan oleh Jabatan Kastam,” kata syarikat itu menerusi emel kepada Malaysiakini.

Syarikat itu juga mengesahkan pengimbas yang digunakan adalah dari syarikat berpangkalan di China, CGN Begood Technology Co Ltd yang menurutnya memiliki “kesemua ciri yang mematuhi syarat tender”.

PTS Resources juga mengesahkan mereka mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa dan menafikan dakwaan yang pengimbas tersebut tidak mematuhi syarat kerajaan.

“Pengimbas baru yang sudah siap dipasang telah melepasi Ujian Penerimaan Tapak (SAT) dan Ujian Penerimaan Akhir (FAT) yang dibuat pelbagai agensi, termasuk jabatan kastam, Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Agensi Nuklear Malaysia, pakar daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta juruaudit bebas.

“Kami ingin tegaskan tiada isu pengimbas yang berprestasi rendah.

“Pengimbas melepasi SAT dan FAT dan sebarang isu yang dihadapi adalah isu penambahbaikan yang sudah diselesaikan. Semua pengimbas menurut spesifikasi tender.”


PTS Resources adalah pembekal berdaftar untuk peralatan industri dan elektrik, alat ganti serta kerja-kerja pentauliahan.

Menurut laman web syarikat itu, ia terlibat secara khusus dalam industri petrokimia serta minyak dan gas, tanpa pengalaman dalam sistem pemeriksaan kargo.

Malaysiakini masih menunggu maklum balas daripada Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam.

[Baca berita asal]

Jutaan Ringgit dibelanjakan untuk pengimbas kastam bermasalah

Sumber: Pengimbas kastam tak diselenggara buka ruang untuk penyeludupan

Lihat Komen
ADS