Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim dimasukkan ke hospital akibat gastrik teruk yang dialami sejak beberapa tahun sebelum ini.
Memaklumkan perkara itu melalui hantaran di Facebook, Sim berkata pada mulanya dia dinasihatkan oleh doktor untuk melakukan pembedahan segera pada minggu lepas, tetapi cuba bertahan untuk seminggu lagi supaya dapat menghabiskan sidang parlimen terlebih dahulu.
“Malangnya tiga hari lepas keadaan jadi amat teruk dan doktor nasihatkan saya untuk segera ke hospital. Asalnya saya ingat saya boleh bertahan lagi, tapi semalam saya terpaksa juga check-in masuk "workshop" pada jam 10pm.
“Saya minta maaf yang amat sangat kepada rakyat Bukit Mertajam sebab saya tidak dapat hadir ke sidang khas hari Isnin.
“Ini kali pertama saya tidak hadir ke parlimen atas faktor uzur sepanjang lapan tahun saya berkhidmat sebagai wakil rakyat,” katanya dalam hantaran di Facebook pagi ini.
Menurutnya, memandangkan dia telah menanggung penyakit tersebut sejak bertahun-tahun, kadang-kala dia melakukan aktiviti seharian seperti ke tempat kerja, turun padang dan hadir ke mesyuarat dengan menahan sakit.
“Walaupun saya cuti sakit, saya akan pastikan segala aduan di pusat khidmat akan disusuli dengan tindakan segera.
“Pasukan saya juga sudah bersiap siaga jika berlaku sebarang bencana banjir di Bukit Mertajam memandang kepada keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya.
